Panik diserang monyet liar, bayi cedera jatuh tersembam dari 'stroller'

Pa and Ma
November 13, 2021 09:15 MYT
Disebabkan keadaan tergesa-gesa untuk selamatkan diri daripada serangan monyet liar, bayi dalam 'stroller' mengalami kecederaan kerana terjatuh dan mukanya tersembam. -Gambar hiasan
KUANTAN: BILA bawa ahli keluarga bercuti, keselamatan memang perlu dititikberatkan. Tambah pula jika bawa ke kawasan hotel yang ada kolam renang atau berdekatan hutan.
Seperti perkongsian seorang ibu ini, Norazimah Bunihan, pengalaman dikejar monyet liar ketika berada di kawasan hotel ketika menginap di sebuah hotel di Teluk Chempedak, Kuantan benar-benar meninggalkan kesan trauma.
Disebabkan keadaan tergesa-gesa untuk selamatkan diri, bayi dalam stroller mengalami kecederaan kerana terjatuh dan mukanya tersembam.
"Kami sekeluarga berjalan kaki ke kereta untuk ambil selipar dan ingin ke Teluk Cempedak yang terletak bersebelahan dengan resort kami.
Tergerak hati nak rakam video ketika menuju ke kereta. Terdapat segerombolan monyet liar di pokok-pokok dan ada juga yang memanjat kereta pengunjung di situ.
Setibanya kami yang berhampiran dengan kereta, suami saya berjalan perlahan-lahan menuju ke kereta memandangkan ada beberapa ekor monyet yang berada di atas kereta bersebelahan kereta kami.
Ketika itu monyet tersebut tidak menunjukkan reaksi terancam.
Belum sempat suami tiba di kereta, ada seekor monyet yang agak besar di antara monyet-monyet lain terus mengejar dan ingin menerkam suami.
Keadaan ketika tu dah jadi panik dan suami terus berlari semula ke arah resort. Saya dan anak anak yang lain turut panik dan cuba untuk larikan diri kerana monyet liar itu betul-betul berada di sebelah stroller bayi saya.
Saya cuba untuk selamatkan diri dan anak-anak dengan tolak stroller bayi secepat yang boleh.
Tiba-tiba bayi saya terjatuh tersembam ke jalan kerana pusingan stroller yang terlalu pantas ekoran keadaan semakin panik.
Bayi saya mengalami luka dan lebam di muka. Anggota badan lain tidak cedera.
Ketika kejadian tiada seorang pun pengawal yang berada berhampiran kami.
Memang banyak monyet liar, ancam keselamatan orang ramai
Kami terus duduk di laluan pejalan kaki bersebelahan tempat parking kereta di bahagian dalam. Ada seorang pengawal parking bahagian dalam cuba keluar untuk bertanya apa yang berlaku.
Ketika itu, monyet tersebut sudah lari ke hutan berhadapan parking luar.
Pengawal tersebut terus memanggil Security Manager beritahu apa yang terjadi.
Pengawal tersebut maklumkan kepada kami sebelum ni memang banyak monyet liar di sini dan sudah maklumkan pada Perhilitan.
Dia menyuruh kami untuk menghubungi perhilitan.
Saya bertanya semula kepadanya, “Kami ke yang perlu hubungi? Bukan pihak hotel?”
Dia maklumkan parking luar itu adalah di luar kawasan hotel, jadi bukan tanggungjawab mereka. Parking di bawah jagaan resort tersebut dah penuh dan kawasannya agak kecil.
Ramai pengunjung meletak kenderaan mereka sebaris kereta kami. Tiada tempat lain, hanya itu dan juga parking dalam yang dah penuh.
Security Manager datang menghampiri kami dan bertanya apa yang terjadi? Kami ceritakan semua dan dia meminta pengawal keselamatan resort tersebut mengambil kayu dan menghalau monyet monyet liar di situ.
Selepas itu Security Manager tersebut meminta kunci kereta pada suami dan dia bantu alihkan kenderaan untuk dibawa masuk parking di bahagian dalam di parking OKU kerana kotak parking biasa sudah penuh.
Memandangkan kami membawa bayi yang ada sawan dan cedera ketika itu, dia benarkan kami meletak kereta di petak OKU untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
Security Manager tersebut terus menghubungi ambulans di HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) untuk berikan rawatan kepada bayi saya yang cedera akibat terjatuh dari stroller.
Ambulans sampai di pekarangan resort, saya dan bayi serta anak sulung saya terus menaiki ambulans dan menuju ke HTAA. Suami dan anak kedua kami membawa kereta menuju ke HTAA.
Setibanya di HTAA, keadaan agak rumit untuk pendaftaran bayi kerana kami terlupa untuk bawa sijil lahir bayi kami.
Selalunya mana sahaja kami pergi, kami pasti akan bawa. Waima dalam daerah kami pun saya tetap masukkan sijil lahir dalam begnya.
Tapi tak jangka kali ni betul betul terlupa nak bawa dan berlaku perkara yang tak diingini.
Okey sambung semula cerita di HTAA.
Setibanya kami di sana, pihak pendaftaran HTAA minta kami sijil lahir atau nombor kad pengenalan anak jika tidak pendaftaran dan rawatan tidak boleh diberikan.
Malangnya saya memang betul-betul tak ingat nombor IC bayi saya.
Saya terus hubungi pihak Hospital Enche Kluang untuk dapatkan nombor IC bayi saya kerana pihak hospital Enche Kluang ada maklumatnya.
Alhamdulillah Allah permudahkan pihak hospital Enche Kluang berikan nombor IC bayi saya.
Keadaan bayi stabil, luka tak serius
Menunggu giliran untuk diberi rawatan. Alhamdulillah doktor di kecemasan HTAA maklumkan luka bayi saya tak serius dan telah dibersihkan untuk elakkan jangkitan kuman.
Doktor tersebut meminta untuk kami buat x-ray di kepala bayi kerana dikhuatiri ada retakan dan sebagainya.
Alhamdulillah proses tak terlalu lama. Result x-ray dapati semua dalam keadaan sihat dan tiada sebarangan retakan.
Doktor beri kebenaran kami pulang ke hotel dengan syarat pantau keadaan bayi sekiranya bayi ada muntah muntah, menangis tanpa henti atau sawan lain dari yang lain, terus datang semua ke HTAA. Kami terus pulang ke resort.
Setibanya di resort kami terus menuju ke cafe kerana ketika itu kami sekeluarga sangat lapar dan jam sudah menunjukkan 8.37pm.
Tiada mood untuk pergi ke kedai makan yang berada di luar resort kerana masing masing dah letih dan perasaan menjadi tak gembira.
Security manager tersebut datang ke cafe untuk berjumpa dan bertanya khabar keadaan bayi kami. Ketika kami berada di HTAA pun dia ada hubungi suami bertanya keadaan bayi kami.
Dia minta kami order sahaja apa yang kami ingin makan tanpa bayaran.
Walaupun keadaan tu tak setimpal dengan apa yang terjadi, tetapi pihak hotel masih mengambil berat dan tidak lepas tangan.
Saya berharap pihak Perhilitan Kuantan memantau keadaan di sekitar kawasan tersebut memandangkan di situ adalah tempat pelancongan dan sudah beberapa kali dimaklumkan pada perhilitan tentang monyet liar.
Saya berharap tidak berlaku pada pengunjung-pengunjung yang lain.
Ini melibatkan nyawa."
Kredit: Norazimah Bunihan
*Artikel asal di Pa&Ma
#Perhilitan #monyet liar #Norazimah Bunihan #Teluk Chempedak
;