Panglima Tentera Darat rai Syawal bersama anggota

Hasimi Muhamad
Jun 6, 2019 12:30 MYT
Anggota tentera diingatkan supaya sentiasa berwaspada dalam memikul tugas menjaga keselamatan negara. - Foto ihsan TD
Bagi menghargai jasa anggota tentera yang bertugas pada Syawal, warga Tentera Darat Malaysia menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), pada Rabu.
Ia disampaikan oleh Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi di Kem Sri Banding, Gerik, di sini, pada Rabu.
Ahmad Hasbullah turut berkesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama anggota yang bertugas.
Lebih meriah, pelbagai juadah menarik dihidangkan pada majlis sambutan Hari Raya yang diadakan.
Dalam pada itu, dalam ucapannya Ahmad Hasbullah mengingatkan warga Tentera Darat agar sentiasa berwaspada dan jangan sekali-kali leka dalam memikul tugas menjaga keselamatan sempadan negara.
Pada lawatan yang sama, Pelancaran Buku Dari Meja Panglima Tentera Darat (DMPTD) Jilid Ketiga juga diadakan.
Terdahulu, Ahmad Hasbullah bersama Pegawai-Pegawai Kanan Markas Tentera Darat tiba di Kem Sri Banding sebelum melakukan lawatan ke pos-pos berdekatan.
Lawatan tersebut bertujuan bagi meninjau tahap kesiagaan anggota, selain menyuntik semangat kepada semua anggota dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
#Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi #Aidilfitri #anggota #Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja #hari raya #syawal #Tentera Darat Malaysia #video
;