Panglima ATM bimbang ramai anggota tamat perkhidmatan ketika kos sara hidup tinggi
Afiezy Azaman
September 16, 2021 14:14 MYT
September 16, 2021 14:14 MYT
KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (ATM) melahirkan kebimbangan apabila ramai anggotanya menamatkan perkhidmatan di kala peningkatan kos sara hidup yang tinggi pada zaman ini.
Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, mereka akan secara langsung terjerumus ke dalam kumpulan pendapatan isi rumah di bawah paras kemiskinan atau di kategori B40 yang boleh menjejaskan kualiti serta kelangsungan hidup mereka.
"Ia diburukkan lagi dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu akibat isu lambakan tenaga kerja yang semakin meningkat ketika ini," katanya sempena Perutusan Khas Panglima ATM sempena Hari ATM ke-88 pada Khamis.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, walaupun Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dipertanggungjawabkan untuk memantau dan memelihara kebajikan mereka, namun, perlu diingat bahawa usaha dan insentif yang diberi bukanlah bersifat kekal.
Jelas beliau ini kerana keberkesanannya banyak bergantung kepada peruntukan yang disalurkan kerajaan selain sumbangan dan ehsan oleh syarikat dan juga orang perseorangan.
Justeru, Affendi berkata Kementerian Pertahanan dan ATM sedang melihat kaedah penyelesaian secara holistik dan seimbang yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kelestarian kualiti hidup para veteran ATM.
"Sudah tiba masanya agar negara dan masyarakat lebih serius dalam menaikkan martabat para veteran ATM.
"Para veteran ATM mendahulukan kepentingan keselamatan negara lebih dari kepentingan diri dan keluarga sepanjang berada di dalam perkhidmatan adalah nilai terpuji yang melayakkan mereka dianugerahkan pengiktirafan serta diberikan penghargaan yang setimpal di atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan.
"Pada masa sama pemerkasaan pertahanan dan kedaulatan tanah air masih dapat diteruskan. Semoga agenda memartabatkan para veteran ATM ini menjadi realiti demi kebaikan kita semua bersama," ujarnya.