Panglima ATM beri penghormatan terakhir kepada Kanang
Bernama
Januari 6, 2013 16:37 MYT
Januari 6, 2013 16:37 MYT
Dewan Suarah, Kuching, yang menempatkan mayat mendiang Pegawai Waran 1 (B) Datuk Temenggong Kanang Langkau terus dikunjungi orang ramai, kenalan, sanak saudara serta kenamaan untuk memberi penghormatan terakhir.
Antara kenamaan yang hadir hari ini ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau yang tiba pada pukul 11.50 pagi meluangkan masa kira-kira 25 minit memberi perhormatan terakhir, berbual bersama keluarga mendiang serta menandatangani buku ucapan takziah.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Rodzali Daud; dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali.
Turut memberi penghormatan ialah 78 veteran tentera daripada pasukan anggota 1 dan 8 Renjer, dan pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja yang diterbangkan khas menggunakan pesawat Charlie C-130 Hercules, yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang.
Pahlawan negara, Kanang Langkau akan diberi penghormatan negara dengan perarakan keranda mendiang bermula kira-kira 1 tengah hari dari Dewan Suarah ke St Thomas Cathedral, Kuching, untuk upacara keagamaan sebelum dikebumikan di Kubur Pahlawan, Jalan Taman Budaya pada pukul 3 petang.