Pangkor Dialogue bakal tarik 2,000 pengunjung

Nuradilla Noorazam
Julai 26, 2016 17:17 MYT
Pangkor Dialogue mendapat jolokan 'The Davos of Asia' kerana bilangan peserta dan pengunjung yang begitu ramai dari seluruh dunia. Foto daripada sidang taklimat kepada media. - Foto Astro AWANI
Dialog Antarabangsa Pembangunan Pangkor (Pangkor Dialogue) yang membicarakan isu-isu pembangunan mampan bakal menarik lebih 2,000 pengunjung yang terdiri daripada pimpinan kerajaan, tokoh perniagaan dan pembangunan serta ahli-ahli akademik dari dalam dan luar negara.
Persidangan tiga hari pada 5 hingga 7 September ini akan berlangsung di Ipoh, Perak itu adalah usahasama Institut Darul Ridzuan (IDR) dan kerajaan negeri Perak.
Buat julung kalinya tahun ini, pemenang Anugerah Nobel Untuk Keamanan 2006 Profesor Muhammad Yunus Khan bakal hadir ke Pangkor Dialogue sebagai pembentang ucaptama dan turut disertai Perdana Menteri Bhutan, Tshering Tobgay dan Pengasas Wonderbag, Sarah Collins dari Afrika Selatan.
Muhammad Yunus merupakan perintis konsep 'micro-financing' atau pembiayaan mikro yang membolehkan isi rumah miskin untuk mendapat pinjaman berskala kecil yang membantu mereka memulakan perniagaan sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr. Mazalan Kamis berkata Pangkor Dialogue bermula kecil sebagai sebuah perjumpaan di antara ahli-ahli akademik dan kini sudah mula membuka ruang kepada pembentuk polisi, sektor swasta dan individu untuk turut serta.
"Pangkor Dialogue bertuah kerana mendapat jolokan 'The Davos of Asia' kerana bilangan peserta dan pengunjung yang begitu ramai dari seluruh dunia seperti dari negara-negara ASEAN, China, India, Bangladesh, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.
"Kehadiran Muhammad Yunus tahun ini menjadikan dialog tahun ini antara yang terbesar pernah kami anjurkan dan adalah bukti terbaik kejayaan Pangkor Dialog dalam menarik minat pemimpin luar untuk hadir," katanya ketika sesi taklimat di sini, hari ini.
Mazalan juga berkongsi tema Pangkor Dialogue tahun ini iaitu Building Resilience for Inclusive and Sustainable Development (Membina ketahanan untuk pembangunan inklusif dan mampan) yang bakal dibahagikan kepada enam sub-topik iaitu teknologi dan inovasi, pendidikan, sosial, ekonomi, alam sekitar, wanita dan golongan muda.
#akademi8k #kerajaan #Pangkor Dialogue #pembangunan #Perak #perniagaan #persidangan
;