'Pangkat bukan untuk bermegah, ingat dunia akhirat' - Timbalan KPN

Umavathi Ramayah
Disember 29, 2023 14:26 MYT
Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pangkat merupakan satu penghargaan yang datang dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu perlu dilaksanakan sebaik mungkin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memberi peringatan kepada pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menjadikan pangkat sebagai sesuatu yang dimegah-megahkan.
Sebaliknya, kata beliau, pangkat merupakan satu penghargaan yang datang dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
"Kita tidak tahu berapa lama lagi kita akan hidup dan bila malaikat maut akan datang menjemput kita. Apabila kita telah pergi, yang akan tinggal hanyalah amalan, nama baik dan maruah kita.
"Pangkat datang dengan tanggungjawab dan amanah, bukannya untuk bermegah-megah dan mengambil kesempatan ke atas pangkat dan kedudukan kita.
"Ingatlah pesanan yang sering saya berikan, pahala dan dosa, hidup dan mati, dunia dan akhirat.
"Setiap yang kita buat di dunia akan dibalas dalam kubur dan di Padang Mashyar nanti... Kalau sebaliknya, maka janganlah kita menyesal selepas kita meninggalkan dunia ini nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Komisioner Polis (CP) Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad kini dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang baharu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Aidi Ismail yang akan bersara wajib pada 1 Januari depan.
#ayob khan mydin pitchay #Polis Diraja Malaysia #pegawai kanan #Pangkat
;