Pangkalan keselamatan di pelantar minyak beroperasi bulan depan di Sabah - Hishammuddin
Bernama
Mac 18, 2015 07:00 MYT
Mac 18, 2015 07:00 MYT
Pelantar minyak terpakai pertama yang diubah suai menjadi pangkalan hadapan pasukan keselamatan negara di Laut Sulu timur Sabah akan mula beroperasi awal bulan depan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha mengubah suai pelantar minyak terpakai itu untuk menjadi pangkalan hadapan pasukan keselamatan dilakukan dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat minyak negara, Petronas dan Sapura Kencana.
Usaha mengubah suai sebuah kapal dagang terpakai sebagai pangkalan hadapan bergerak di Laut Sulu juga hampir siap dan dijangka mula beroperasi dalam tempoh beberapa bulan ini, katanya kepada pemberita pada sidang media hari kedua Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA) di sini pada Rabu.
Hishammuddin berkata kewujudan pelantar minyak dan kapal dagang diubah suai sebagai pangkalan hadapan bakal memberi kelebihan kepada pasukan keselamatan dalam aspek masa reaksi kepada kecemasan yang lebih cepat berbanding pangkalan di daratan.
Pangkalan hadapan di Laut Sulu itu, katanya, bakal dilengkapi dengan pelbagai peralatan termasuk Pesawat Tanpa Pemandu (UAV), kapal peronda kecil dan helikopter bersenjata serta persenjataan lain.
Menurut Hishammuddin, kerjasama syarikat minyak dalam usaha mengubah suai pelantar minyak dan kapal dagang sebagai pangkalan hadapan membawa kepentingan bersama kerana ia juga bertujuan menjaga keselamatan operasi mereka di laut lepas.
"Ini kerana sebarang ancaman di laut lepas, pelantar minyak syarikat minyaklah yang bakal menerima ancaman sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan militan IS," katanya.
Selain meningkatkan kawalan keselamatan di Timur Sabah menerusi pelantar minyak dan kapal dagang terpakai, kerajaan juga, katanya, menstruktur semula penempatan aset ketenteraannya.
Ia termasuk menempatkan jet pejuang Hawk di pangkalan udara Labuan, mengatur gerak dua batalion tentera ke timur Sabah serta 12 buah kereta perisai 8x8 Gempita ke kawasan terbabit.
"Kesemua ini dilakukan untuk menjaga keselamatan rakyat Sabah," kata Hishammuddin sambil menambah, usaha mengawal keselamatan di timur Sabah itu juga mendapat kerjasama daripada negara jiran Brunei, Filipina dan Indonesia.
Mengenai nasib pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) MiG-29N yang bakal ditamatkan perkhidmatannya akhir tahun ini, beliau berkata sedang mencari penyelesaian menang-memang dalam isu terbabit.
Katanya pihak kementerian perlu berunding dengan pihak Rusia dalam mencari penyelesaian menang-menang sebelum keputusan untuk menghentikan perkhidmatan pesawat pejuang milik TUDM itu.
TUDM memiliki 16 buah pesawat pejuang berkenaan yang digunakan untuk operasi pemintasan udara.
Beberapa syarikat pengeluar pesawat pejuang seperti Dassault Aviation dari Perancis telah menawarkan pesawat Rafale, BAE Systems pesawat Eurofighter Typhoon serta FA-18 EF Super Hornet keluaran Boeing untuk menggantikan pesawat pejuang TUDM itu.