Panggung Dikir Amal hulur bantuan kepada mangsa banjir

Nur Fazlizai Ali
Mac 14, 2022 06:45 MYT
Panggung Dikir Amal itu juga turut diserikan dengan sokongan artis tempatan seperti Apak Harry Khalifah, Man Khan dan Aris Kapilla. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Prihatin dan tersentuh dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan baru-baru ini, stesen radio Astro Gegar turut mengorak langkah membantu mereka yang terkesan dengan bencana alam itu.
Pengurus Kandungan Gegar, Raja Nadia Salwana Raja Hisham berkata, meskipun berada di ibu kota, namun mereka turut menyelami penderitaan dan rintihan mangsa yang terjejas menerusi perkongsian bersama platform radio berkenaan serta saluran media yang lain.
Katanya, menerusi itu Gegar melaksanakan Panggung Dikir Amal Gegar bagi membantu meringankan beban mangsa yang dilanda musibah berkenaan.
Jelasnya, dalam meniti hari untuk menyambut Ramadan, mereka memfokuskan bantuan selepas banjir kepada penduduk.
"Sebenarnya kita melihat pada bantuan selepas banjir sebab mangsa banjir kita tahu, NGO akan pergi ke setiap pusat untuk memberi makanan.
"Kita akan pergi selepas itu, pada bulan puasa," katanya.
Beliau berkata Panggung Dikir Amal akan menerapkan elemen berhibur sambil beramal dengan mengumpul barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa.
Katanya selain penyampai Gegar, Panggung Dikir Amal itu juga turut diserikan dengan sokongan
artis tempatan seperti Apak Harry Khalifah, Man Khan dan Aris Kapilla.
Jelasnya dalam tempoh dua jam, pihaknya berjaya mengumpul pelbagai barangan termasuk makanan dan pakaian yang akan diagihkan di sekitar daerah Kemaman serta Hulu Terengganu.
#banjir #bantuan #Astro Gegar #Panggung Dikir Amal
;