Panggilan video berlatarkan IPK Perak, polis kesan taktik baharu scammer
Umavathi Ramayah
Mac 27, 2024 23:23 MYT
Mac 27, 2024 23:23 MYT
KUALA LUMPUR: Macam-macam taktik digunakan scammer untuk memerangkap mangsa.
Terbaharu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesan modus operandi yang mengeksplotasikan laporan polis dalam talian e-Reporting melalui panggilan video untuk memperdaya mangsa membuat bayaran atau pindahan wang.
Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, untuk lebih menyakinkan mangsa, panggilan itu dibuat dengan berlatar belakangan tulisan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
"Pada awalnya, mangsa akan menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai daripada syarikat kurier. Pemanggil akan mewujudkan satu situasi yang menjadikan mangsa panik dan menurut semua arahan yang diberikan. Seterusnya, panggilan tersebut akan disambungkan kepada ahli sindiket yang menyamar anggota polis secara panggilan video.
"Melalui panggilan video ini, mangsa akan diyakinkan untuk membuat laporan polis secara dalam talian (e-Reporting) dan berinteraksi dengan pegawai polis palsu berlatarkan gambar seolah-olah keadaan di balai polis.
"Dengan adanya suasana seolah-olah berada di balai polis, mangsa akan berasa selamat dan seterusnya memberikan semua maklumat yang diminta sehinggalah mengakibatkan berlakunya kehilangan wang ringgit," katanya pada sidang media di pejabat JSJK di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, pada tahun lalu, sebanyak 34 laporan diterima berkaitan modus operandi itu membabitkan nilai kerugian RM1.01 juta.
Menurutnya, sejak awal tahun ini sehingga 14 Mac lalu, sejumlah 14 laporan polis telah diterima membabitkan nilai kerugian RM960,500.
Justeru beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi penipuan berkenaan.
"Pihak polis tidak akan menggunakan panggilan video untuk menerima laporan polis mahupun menjalankan siasatan.
"Sebarang proses siasatan hanya akan dilakukan secara bersemuka di mana-mana balai polis atau premis milik PDRM," katanya