Panggilan tugas ketika pandemik, tanpa disangka satukan hasrat hati dua anggota APM

Adie Sufian Zulkefli
Jun 14, 2020 00:00 MYT
Zainari menunjukkan cincin pertunangan di jari manis Nur Syamimi. Mereka merancang untuk melangsungkan majlis akad nikah pada 31 Ogos depan. -Astro AWANI
Di sebalik kesibukan bertugas sebagai dalam barisan hadapan memerangi COVID-19, siapa sangka ada sesuatu yang indah terjadi -- sebuah detik sebuah pertemuan yang seterusnya membibitkan rasa cinta dua hati.
Selama 13 hari bertugas bersama sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pusat Kuarantin di Kuala Kedah sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menjadi titik-tolak bagi Nur Syamimi Ramli, 32, dan Sarjan Zainari Ahmad, 33, membuat keputusan untuk membawa hubungan itu ke peringkat seterusnya, iaitu mengikat tali pertunangan.
Walaupun berkhidmat dalam satu jabatan di negeri yang sama, mereka tidak pernah bertemu.
Perkenalan mereka pada 9 April lalu, meskipun bermula dengan gurauan manja, akhirnya menimbulkan rasa yang membuatkan Nur Syamimi, anggota APM Padang Terap, sudi menerima Zainari.
"Kawan-kawan mengusiklah sebab dia (Zainari) melatah. Dia terpegang tangan saya dan lepas itu mengheret Mimi. Saya pun tergamam.
"Dia (kemudian tersedar) lalu cepat-cepat lepas, lalu lari sebab dia ingat Mimi marah.
"Semua orang gelak kat dia sebab dia jenis melatah," imbas Nur Syamimi yang menyifatkan tabiat Zainari itu suatu yang lucu.
Tambah Nur Syamimi, Zainari kemudian mendapatkan nombor telefonnya untuk meminta maaf kerana 'insiden' memegang tangan tanpa sengaja itu.
"Dia minta maaflah sebab dia terpegang tangan. Dari situ kami berhubungan melalui WhatsApp dan sejak berkawan dengannya timbul rasa suka," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jeneri, Begia.
Menurut ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun itu, mereka merancang untuk melangsungkan majlis akad nikah pada 31 Ogos depan.
Sementara itu, bagi Zainari yang merupakan anggota APM Yan, dia sama sekali tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Nur Syamimi dengan cara sebegitu dan mereka akan memanfaatkan masa dua bulan untuk lebih mengenali hati budi masing-masing.
"Dia ambil berat tentang saya - selalu bertanya sudah makan ke belum," ujarnya yang pada ketika itu Nur Syamimi di Anak Bukit manakala dirinya pula sedang bertugas di Pusat Latihan & Pembangunan Pengembangan (PLPP Wilayah Utara).
Menurut Zainari, dia menerima tunangannya itu dengan hati yang terbuka dan berharap semoga jodoh mereka kesampaian dan berpanjangan sehingga ke akhir hayat.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib menzahirkan rasa gembira apabila anggotanya itu menyatakan hasrat untuk berjodoh dengan pilihan hatinya yang dikenali sewaktu bertugas di pusat kuarantin.
#angkatan pertahanan awam #APM Padang Terap #APMM #barisan hadapan #COVID-19 #ikat tali pertunangan #koronavirus #Nur Syamimi Ramli #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKP #Zainari Ahmad