Panggilan telefon ibu tidak berjawab, rupanya anak maut dalam kemalangan
Adie Sufian Zulkefli
Disember 20, 2022 17:54 MYT
Disember 20, 2022 17:54 MYT
SUNGAI PETANI: Perasaan tidak sedap hati seorang ibu yang menghubungi telefon bimbit anaknya yang tidak berjawab rupanya menjadi petanda buruk buatnya selepas menerima perkhabaran anaknya meninggal dunia dalam kemalangan.
Safinah Zakaria, 48, ibu kepada Muhammad Izani Mohd Tuah, 15, yang meninggal dunia dalam kemalangan selepas kereta Honda EG yang dinaiki bersama empat rakannya terbabas di Kilometer 63.5 Jalan Alor Setar - Butterworth, jam 2.30 pagi Selasa.
Turut maut, pemandu kereta, Muhammad Aiman Rusdi, 17, dan Mohd Iman Mohd Akhir, 17, selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Dua lagi rakan mereka, Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, mengalami cedera ringan.
Menurut Safinah, dia tidak menyangka perubahan sikap manja anak bongsu dari empat beradik, memeluk dan mencium pipinya sebelum tidur pada malam sebelum kejadian petanda untuk dia pergi buat selamanya.
"Saya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi sepupu arwah yang memberitahu anak saya terbabit dalam kemalangan.
"Ketika itu saya berada di Alor Setar kerana mempunyai urusan dan apabila menghubungi telefon bimbit anak, ada individu tidak dikenali menjawab panggilan dan meminta saya datang ke lokasi melihat keadaan anak yang sudah meninggal dan mengalami kecederaan parah di kepala," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), hari ini.
Katanya, Muhammad Izani tinggal bersama sepupunya di Taman Semarak, di Sungai Petani kerana bekerja sambilan di sebuah kedai makan.
Safinah yang juga ibu tunggal berkata, arwah seorang anak yang baik dan periang namun dia tidak menyangka arwah akan pergi di usia muda.
Sementara itu, bapa kepada Muhammad Aiman, Ahmad Rusdi Abdul Rahman, 50, berkata, Muhammad Aiman dipercayai memandu menggunakan kereta Honda EG milik abangnya dan memberitahu hendak ke rumah kakaknya keduanya di Bandar Perdana.
Katanya, selepas itu dia tidak banyak bercakap dan terus keluar bersama rakan-rakannya untuk makan malam.
"Ketika kejadian saya berada di rumah dan dihubungi anak kedua mengatakan Muhammad Aiman terbabit dalam kemalangan dan terus ke tempat kejadian.
"Sampai di tempat kejadian, saya dimaklumkan anak saya sudah tiada namun saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.
Menurut Ahmad Rusdi, Muhammad Aiman yang sudah tidak bersekolah membantu bapa saudaranya berniaga buah di Tikam Batu.
Katanya, arwah yang juga anak kelima dari tujuh beradik sebelum ini manja dengan arwah ibunya namun selepas ibunya meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu, Allahyarham akrab dengan adik beradik lain terutama dua kakaknya.
Katanya, jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tikam Batu selepas selesai urusan bedah siasat.