Panggilan ‘daddy’ di pengebumian wira Wan Rezaudeen Kamal buat orang ramai sebak
Umavathi Ramayah
April 24, 2024 22:15 MYT
April 24, 2024 22:15 MYT
KUALA LUMPUR : Suasana hiba dan sedih menyelubungi pengebumian Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin yang terkorban tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.
Linangan air mata mengiringi pemergian Allahyarham apabila isteri, Alia Amalina Mohd Nor dan anak lelaki mereka, Wan Alyan Riz mencium keranda Wan Rezaudeen Kamal beberapa kali sebelum dikebumikan.
Lebih sebak melihat anak Allahyarham yang berusia empat tahun tidak putus-putus memanggil ‘daddy’.
Melihat raut wajah dan panggilan manja si kecil itu menyebabkan lebih 200 orang terdiri daripada keluarga terdekat, sanak saudara, anggota tentera dan orang ramai yang berada di lokasi turut hiba.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, di sini kira-kira pukul 10 malam.
Antara yang turut mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham adalah Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.
Allahyarham dikebumikan dengan penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi tentera.
Sebelum itu, jenazah yang dibawa dengan van jenazah milik tentera dari Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh tiba di Masjid Salahuddin Al-Ayubi Taman Melati, Batu Caves pada pukul 8.17 malam.
Jenazah disolatkan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan untuk upacara pengebumian.
Allahyarham adalah antara 10 mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, pada Selasa yang maut.
Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa insiden helikopter terhempas itu dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak dan selesai pada 2.20 petang, Rabu.
Sementara itu, sepupu arwah, Siti Arbaiyah Bahudin, 43, berkata, arwah adalah anak sulung daripada tiga adik beradik.
"Itu yang menjadi harapan keluarga dan disebabkan itu keluarga masih sukar menerima kejadian yang berlaku ke atasnya, katanya.
Tambahnya, ketika menziarahi ibu bapa arwah minggu lalu, bapanya ada bercerita mengenai hasrat arwah untuk berpencen awal.
"Arwah seorang yang pendiam, tapi periang dan komited dengan tugas sebagai pegawai tentera,” tambahnya.
Menurutnya, arwah seorang yang sangat bijak dalam pelajaran dan bercita-cita untuk menjadi juruterbang.
“Malah sebelum ini dia pernah membawa kapal terbang, dan mula menjadi juruterbang helikopter sejak dua tahun lalu, ujarnya.
#nahas helikopter Lumut
#pengebumian
#Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin
#mangsa korban
#istiadat tentera