Panggil duta, wakil negara jika benar Malaysia terima ugutan isu Palestin - Pas
Afiezy Azaman
Oktober 26, 2023 12:10 MYT
Oktober 26, 2023 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memanggil duta atau wakil negara sekiranya benar Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin Eropah ekoran kelantangan memperjuangkan isu Palestin.
Demikian menurut Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyifatkan tindakan itu wajar bagi menyampaikan bantahan Malaysia, berbanding Anwar membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan mengenainya.
"Pas percaya kenyataan 'alarmist' sebegini, bertujuan menonjolkan 'kehebatan' dan 'kepentingan' Perdana Menteri, sudah menjadi ciri kekal pentadbirannya yang sehingga kini masih terkial-kial dalam mendapatkan sokongan dan kepercayaan awam.
"Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan 'kehebatan' seseorang pemimpin.
"Selain itu, ia juga boleh menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana Perdana Menteri membuat 'dakwaan rambang dan khayalan' sedemikian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Selasa, Anwar mengesahkan Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin Eropah ekoran kelantangannya memperjuangkan isu Palestin.
Katanya, ugutan berkenaan bagaimanapun tidak sama sekali mematahkan semangat Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin pada ketika ini.
Takiyuddin pada masa sama, mempersoalkan dakwaan Anwar berhubung isu tersebut yang disifatkannya sebagai "pelik dan melucukan".
Ini kerana, katanya, umum mengetahui pendirian tegas Malaysia dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.
"Perdana Menteri terdahulu, baik Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Ismail Sabri, diketahui sangat lantang dalam isu ini.
"Namun tiada pula mereka dilaporkan 'diancam' berkait ketegasan dan kelantangan itu.
"Malah, Malaysia juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Palestin dan Hamas di bawah kepimpinan sebelum ini.
"Jadi, kenapa pula PM Anwar tiba-tiba 'diancam' dan ancaman itu pula dalam bentuk 'kenyataan-kenyataan' yang dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen?" soal Takiyuddin.