Pang Ah Ngang dan guru besar mohon maaf secara terbuka
Astro Awani
Januari 17, 2014 21:35 MYT
Januari 17, 2014 21:35 MYT
Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, (SJKC) Nan Ya, Pang Ah Ngang, 72 tahun dan guru besar, Chiew Swee Tuan hari ini meminta maaf secara terbuka kepada guru Cina muallaf yang diminta membuka tudungnya.
Permohonan maaf itu dibuat di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama di hadapan guru terbabit, Choi Yi Shan, 25 tahun yang masih merahsiakan nama Islamnya.
Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Mohamad Fadil Ishak; Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman dan Penghulu Mukim Johor Lama, Mohd. Nazri Kasmin.
Sementara itu, Bernama melaporkan ketua-ketua masyarakat di Teluk Sengat di sini menganggap isu berkenaan ugutan dan paksaan terhadap seorang guru mualaf di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina supaya membuka tudung selesai apabila pihak lembaga pengurusan sekolah itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.
"Jika ia berpanjangan, tidak mustahil nanti akan berlaku perbalahan sedangkan ia boleh diselesaikan dengan cara toleransi antara dua pihak.
"Satu pihak memohon maaf atas dasar kejahilannya dan satu pihak lagi memaafkan atas dasar sifat sebagai seorang muslim dan bersangka baik," katanya kepada Bernama di sini hari ini.