Panel penyiasat rampas minit mesyuarat 1MDB, penyata bank - Peguam Negara

Astro Awani
Julai 9, 2015 17:41 MYT
Pihak berkuasa merampas minit mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, buku minit serta penyata bank dalam serbuan ke pejabat syarikat itu.
Pihak berkuasa merampas antara lain minit mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), buku minit serta penyata bank dalam serbuan ke pejabat syarikat itu di sini pada Rabu.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan serbuan ke atas premis itu bermula pada pukul 9.40 pagi dan proses menggeledah dokumen mengambil masa sembilan jam.
Pasukan Penyiasat Khas turut merampas beberapa penyata dan dokumen berkaitan urus niaga termasuk perjanjian perniagaan.
"Dokumen seperti buku lejar, perjanjian perniagaan dan fail berkaitan hal tanggungjawab sosial korporat 1MDB.
"Pasukan penyiasat turut merampas beberapa komputer notebook," kata panel penyiasat itu dalam satu kenyataan bersama.
Selain Peguam Negara, panel khas itu dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Semalam, 1MDB dalam satu kenyataan melahirkan komitmennya untuk memberikan kerjasama penuh kepada Pasukan Petugas Khas yang melakukan serbuan di pejabat syarikat pelaburan strategik itu.
1MDB turut mengesahkan beberapa dokumen dan bahan berkaitan telah diserahkan bagi membantu siasatan.
Syarikat itu turut mengulangi pendirian sekiranya terdapat salah laku dan penyelewengan, tindakan perlu diambil berlandaskan undang-undang.
#1MDB #Gani Patail #Kenyataan Bersama #pasukan penyiasat #perjanjian perniagaan #serbuan
;