Pandu uji kereta: Polis rekod keterangan Muhammad Sanusi

Bernama
Jun 8, 2021 01:03 MYT
Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah. --fotoBERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Polis telah merekodkan keterangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, di sini, tiga hari lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata selain Muhammad Sanusi, pihaknya juga telah merekodkan keterangan empat individu lain untuk membantu siasatan.
"Setakat ini lima orang telah direkodkan keterangan termasuk menteri besar (Muhammad Sanusi) dan polis masih dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan kes itu.
"Sebaik sahaja kertas siasatan siap, kami akan segera merujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
BACA: Pandu uji kereta: Sanusi sedia disiasat
BACA: Pandu uji kereta: Polis sudah rakam percakapan lima individu
BACA: Pandu uji kereta: Sanusi serah kepada polis untuk siasat
Shafee berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Tiga hari lepas, komuniti media sosial kecoh susulan penularan gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta, sedangkan negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh dan pusat jualan serta pameran kenderaan antara sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.
-- BERNAMA
#Seberang Perai #media sosial #siasatan #Tular #pandu uji kereta #rekod keterangan #Menteri Besar Kedah #polis #pusat jualan #Autocity Juru #Shafee Abd Samad #kertas siasatan #Timbalan Pendakwa Raya #PKP 3 0 #sekatan pergerakan penuh #tidak dibenar beroperasi