Pandu Uber: Dulu B40 kini M40

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 23, 2016 08:37 MYT
Mohd Izzat yang telah menjadi pemandu Uber sejak lapan bulan lalu mengakui mampu meraih antara RM500 hingga RM600 sebulan dengan hanya melakukannya secara sambilan. - Gambar Astro AWANI
Teknologi pemanduan perkongsian kenderaan, Uber jika dilihat pada satu sisi berbeza ia adalah instrumen terbaik bagi mereka yang berada dalam kelompok B40 untuk keluar dari kepompong tersebut.
Komuniti pemandu Uber, atau 'Uber partners', yang ditemui Astro AWANI mengakui, mereka mampu menjana pendapatan lebih RM3,000 walaupun hanya sebagai pemandu sambilan.
Mana tidaknya, sebelum ini rata-rata antara mereka hanya makan gaji dengan pendapatan kira-kira RM2,500.
Namun, kini mereka mampu menjadikan pendapatan mereka mencecah lebih RM5,000 sebulan.
Sekaligus, ia dilihat sebagai inisiatif yang sangat membantu meringankan beban dek kos sara hidup yang tinggi di tengah kota raya Kuala Lumpur.
Pada masa sama, mereka mampu menganjak kedudukan dalam strata ekonomi masyarakat.
Mohd Izzat Tamjuddin yang telah menjadi pemandu Uber sejak lapan bulan lalu mengakui mampu meraih antara RM500 hingga RM600 sebulan dengan hanya melakukannya secara sambilan.
"Jika saya hendak buat Uber ini saya buat pada Jumaat hingga Ahad. Saya ikut jadual di mana Isnin hingga Khamis saya boleh luangkan masa bersama keluarga dan kalau saya bawa tiga hari itu saya boleh dapat dalam RM500-RM600 secara sambilan seminggu.
"Tapi dengan syarat kita kena disiplin dan bagi komitmen penuh selain kita perlu ada sasaran apa yang ingin kita capai," katanya.
Muhammad Sukri Zakaria turut mengakui dia mampu mengurus waktu dengan lebih baik terutama masa berkualiti kepada keluarganya.
"Dalam masa satu hari sahaja saya boleh dapat hampir RM200, itu pun saya mula lambat sekitar 11.30 pagi sehingga malam.
"Itu pun ada berhenti-henti, ambil anak dekat sekolah, boleh ambil isteri dari pejabat. Jadi, kita boleh kawal masa kita, selain menilai kemampuan kita," katanya.
Walaupun ada antara mereka terpaksa menambah hutang untuk membeli kereta baharu, ia bukanlah satu bebanan apabila pendapatan yang dijana amat memberangsangkan.
Malah, ada antara mereka yang sanggup menyewa kereta dengan bayaran sekitar RM1,600 sebulan kerana percaya pulangan yang diterima berlipat-ganda.
"Ada yang sanggup menyewa kereta dengan bayaran sekitar RM400 seminggu semata-mata untuk membuat Uber sahaja.
"Bermakna dia perlu bayar dalam RM1,600 sebulan tapi dia tidak risau sebab dia tahu dia boleh menjana pendapatan yang lebih untung menampung jumlah bayaran kenderaan yang dia sewa," ujar Mohamad Shaiful Tan.
Mengulas cadangan Kerajaan yang menyarankan mereka yang berminat untuk menjadi pemandu Uber untuk membeli Proton Iriz, Mohamad Saiful berpandangan model itu hanya sesuai diguna pakai di dalam bandar dan bukan untuk perjalanan jauh terutama apabila perlu menghantar atau mengambil penumpang di lapangan terbang.
"Bagi saya yang paling sesuai sekarang Proton Saga dan Perodua Bezza sebab bonet besar. Kedua-dua itu antara yang murah dan sesuai untuk dibuat sebagai kenderaan Uber.
"Tapi kalau ada yang lebih berkemampuan lagi, gunalah Perodua Alza atau Proton Exora sebab dia lebih kepada Uber XL yang mampu bawa lebih ramai penumpang dan caj pun lebih sedikit," katanya.
#B40 #Teknologi pemanduan perkongsian kenderaan #Uber
;