Pandu melulu sebabkan kematian polis, pembantu kedai dipenjara lapan tahun
Astro Awani
November 8, 2020 17:38 MYT
November 8, 2020 17:38 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pembantu kedai dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana memandu secara melulu.
Mohamad Syafiq Lokman, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman selepas menyebabkan kematian Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 1 November lalu.
Tertuduh pada masa sama turut hilang kelayakan mengambil lesen memandu sehingga lima tahun atas pertuduhan itu.
Media difahamkan, ia merupakan kes pertama sabitan hukuman lebih berat mengikut pindaan baharu Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang diwartakan 23 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan lain di mahkamah berasingan, Mohd Syafiq dijatuhi hukuman penjara 12 bulan secara berasingan dan denda RM5,000 atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Majistret Nurasidah Rahman turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan lagi secara berasingan dan menjalani perintah pengawasan selama dua tahun atas kesalahan memasukkan dadah dalam badan.
#mahkamah
#pandu melulu
#pandu melulu sebabkan kematian
#Mahkamah Majistret
#penjawat awam
#Dadah
#penjara