Pandu lawan arus di MEX: Wartawan, jurukamera hadir beri keterangan

Fareez Azman
September 6, 2021 14:33 MYT
Keterangan diberikan oleh wartawan Fareez Azman dan jurukamera, R Sujenthiran (gambar) selepas video yang dimuat naik di laman Twitter pada hari kejadian tular. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dua kru Astro AWANI selesai memberi keterangan di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Balai Polis Trafik Kuala Lumpur hari ini berhubung kejadian sebuah kenderaan dipandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 4 September lalu.
Keterangan diberikan oleh wartawan Fareez Azman dan jurukamera, R Sujenthiran selepas video yang dimuat naik di laman Twitter pada hari kejadian itu tular.
Difahamkan pemandu kenderaan jenis Perodua Myvi terbabit telah hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Ahad.
Lebuhraya MEX | Saksi kejadian lawan arus diminta tampil ke balai
BACA: Kenderaan dipandu melawan arus berjaya dirakam kru Astro AWANI di Lebuhraya MEX
Pemandu terbabit diminta hadir bagi membantu siasatan selepas berjaya dikesan polis berdasarkan satu rakaman kamera dashboard sebuah kenderaan ketika kejadian.
Pemandu terbabit bagaimanapun dibebaskan atas jaminan polis selepas selesai memberi keterangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi itu, jurukamera R Sujenthiran sempat merakamkan aksi sebuah kenderaan Myvi berwarna biru muda dipandu melawan arus di Lebuhraya MEX menghala ke Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan terbabit telah melawan arus bermula dari kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Wangsa Maju menghala ke arah Putrajaya.
Menurutnya, tindakan pemandu itu melawan arus menyebabkan sebuah kereta Proton Wira terlibat dalam kemalangan selepas cuba mengelak kenderaan terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#pandu lawan arus #video tular #wartawan beri keterangan #Lebuhraya MEX
;