Pandu lalu di hotel, cara baru tarik pelanggan

Ridauddin Daud
Februari 9, 2021 21:42 MYT
Pelanggan hanya perlu datang, pesan makanan dan tunggu makanan dihantar ke kenderaan mereka. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tahun 2020 merupakan tahun yang sukar bagi industri pelancongan berikutan penularan pandemik COVID-19, dan nampaknya tahun ini keadaan tidak banyak berubah.
Dalam usaha untuk kekal bertahan, semua sektor dan industri perlu cepat berubah, dan adaptasi sebaiknya dengan normal baharu.
Sektor perhotelan misalnya, sudah semakin banyak mengubah pendekatan mereka, ada yang dilakukan demi survival dan ada juga demi memenuhi permintaan pelanggan.
Untuk rekod, statistik menunjukkan 109 buah hotel dilaporkan ditutup pada tahun 2020 dengan kerugian mencecah RM100 billion angkara pandemik tersebut.
BACA: Jangka rugi RM100 bilion, Travel Bubble beri nafas baharu pelancongan domestik
Sebanyak 204 syarikat berkaitan pelancongan dan perhotelan pula terpaksa 'gulung tikar' sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun lepas.
Bukan hotel kecil saja terjejas, hotel yang sudah lama beroperasi pun turut terkena tempiasnya.
Kesukaran demi kesukaran yang datang tanpa henti membuatkan pengusaha mula menggerakkan strategi baru untuk hotel mereka.
BACA: 2021 tahun pulihkan ekonomi negara melalui pelancongan domestik - Nancy
Minggu lepas misalnya, tular berita pengurus hotel di Pulau Pinang menjual makanan di tepi jalan sebagai salah satu cara menjana pendapatan buat hotelnya.
Di Kuala Lumpur pula, Hotel Seri Pacific menggerakkan inisiatif hampir sama namun caranya sedikit berbeza, berkonsepkan pandu lalu.
Menariknya, semua makanan tersebut disediakan chef hotel bertaraf lima bintang tetapi harga ditawarkan jauh lebih murah daripada biasa.
Pelanggan hanya perlu datang, pesan makanan dan tunggu makanan dihantar ke kereta mereka.
Pengurus Pemasaran dan Komunikasinya, Hazeira Abdul Hazis berkata, idea itu timbul selepas ramai pelanggan bertanyakan cara untuk mendapatkan makanan dari hotel tersebut memandangkan makan di premis adalah dilarang semasa PKP.
“Kita dikenali sebagai salah satu hotel yang menyediakan makanan yang kita boleh cakap sedap. Ramai pelanggan teringin.
“Selain daripada penghantaran, kita juga sediakan pandu lalu di mana orang ramai boleh lalu saja dan ambil makanan. Setakat ini, sambutan hari kedua sangat memberangksakan sebab senang.
“Mereka hanya datang, tak perlu turun kereta, boleh kata contactless delivery. Mereka datang, pesan dan kita beri kepada mereka. Makanan bertaraf lima bintang, kita jual pada harga berpatutan,” katanya kepada Astro AWANI.
Strategi kita sebelum COVID-19, kita boleh beroperasi macam biasa, boleh datang makan di dalam hotel tapi situasi berubah, ada prosedur operasi standard (SOP) baru jadi kita perlu ubah strategi.
“Sekarang strategi kami adalah membawa produk ke luar kepada pelanggan tapi dalam cara yang baru,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelanggan, Mohd Rostam Abdul Rahim, 43 tahun, yang pertama kali membeli makanan di hotel tersebut menyambut baik inisiatif disediakan hotel berkenaan.
Pelancongan: Kerajaan pertimbang buka sempadan
“Mudah untuk kita beli tanpa perlu turun semua. Biasa kalau kita nak makan di hotel, faham-fahamlah harganya, memang mahal.
“Tapi dengan cara dan harga macam ini, Alhamdulillah ini satu perkara dan inisiatif yang baik,” ujarnya.
Hakikatnya, semua orang berdepan cabaran tidak terduga akibat COVID-19 namun jika hanya kekal di takuk lama, selagi itulah cabaran kekal menjadi cabaran, tidak langsung menjadi penyelesaian.
#hotel #pandu lalu #drive thru #Seri Pacific Hotel #norma baharu #pelanggan #chef #lima bintang #SOP #Kuala Lumpur #ekonomi #kerajaan #pelancongan #COVID-19 #PKP
;