Pandora Papers: Tidak salah dari sudut undang-undang namun tidak sesuai dari segi moral - Tun Mahathir
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 25, 2021 17:50 MYT
Oktober 25, 2021 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada kesalahan yang boleh dikaitkan dengan senarai nama yang didedahkan dalam Pandora Papers yang didakwa membabitkan beberapa nama orang kenamaan di negara ini.
Bagaimanapun katanya terpulang kepada kerajaan untuk mengambil sebarang tindakan yang difikirkan wajar susulan pendedahan tersebut.
“Daripada segi undang-undang ia tidak salah. Tetapi dari segi moral mungkin tak sesuailah kalau ada duit simpan di luar negara. Sebaliknya mereka ini ada yang dapat keuntungan perniagaan di luar negara bukan di dalam negara dan mereka membayar hasil cukai di negara-negara itu,” jelasnya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhari di sini petang tadi.
Tambah beliau, kebanyakan senarai nama yang terdapat di dalam laporan tersebut itu akan dikenakan cukai seandainya membawa masuk wang hasil perniagaan mereka di negara luar.
Namun katanya ia bukanlah satu kesalahan dilakukan baik di negara ini ataupun di negara-negara yang mereka berniaga.
“Kalau mereka tidak membayar cukai di negara mereka berniaga itu salah. Setakat yang kita tahu tak ada kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Kerajaan saya fikir tidak boleh bertindak apa-apa kerana undang-undang membenarkan. Kalau kita tidak suka kita oleh tukar undang-undang kita,” jelasnya lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini memberi jaminan yang kerajaan akan tetap menjalankan siasatan ke atas pendedahan itu meskipun ia dilakukan pada 2012.
Menurut Wan Junaidi, arahan akan dikeluarkan kepada semua agensi terlibat termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjalankan siasatan.