Pandora Papers: Teliti akaun 'offshore', cari langkah pastikan ketelusan dana - Mukhriz

Madiha Abdullah
Oktober 27, 2021 07:00 MYT
Apa yang penting adalah menggariskan perbezaan yang jelas antara wang untuk tujuan tertentu dan sogokan. -Foto ICIJ
KUALA LUMPUR: Pendedahan Pandora Papers yang didakwa melibatkan beberapa figura terkemuka negara membuktikan perlunya ketelusan dalam aspek menjejak pengayaan haram dan ketegasan undang-undang budi bicara berkaitan aset.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, apa yang penting adalah menggariskan perbezaan yang jelas antara wang untuk tujuan tertentu, baik pekerjaan profesional mahupun perniagaan dengan sogokan.
"Pihak berkuasa meluluskan satu projek melalui syarikat, mereka telah membuat beberapa perjanjian antara mereka dan kemudian pembayaran sogokan semuanya dilakukan di luar negara.
"Saya tidak dapat membayangkan bagaimana pihak berkuasa tempatan mahu mengesan perkara itu.
"Yang terdekat adalah Singapura, terlalu mudah untuk seseorang membuka akaun bank di Singapura, saya tidak pasti bagaimana prosedur apabila akaun offshore dibuka di sana, tetapi mungkin begitulah cara yang digunakan mereka," katanya dalam sesi webinar bertajuk Pandora Papers: Is there Corruption Behind the Secrecy of the Offshore World, pada Rabu.
Pandora Papers yang mengandungi hampir 12 juta dokumen kewangan merupakan pendedahan paling besar dalam sejarah.
Data itu diperoleh oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) di Washington, yang bekerjasama dengan lebih 140 organisasi media dalam penyelidikan terbesar di peringkat global.
Tambah Mukhriz, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) semua ahli politik perlu membuat deklarasi aset dan liabiliti mereka, namun ia seolah-olah bukan lagi keutamaan kerajaan ketika ini apabila portal sesawang yang pernah digunakan untuk perkara itu, sudah tidak aktif lagi pada waktu ini.
Namun Mukhriz juga mengakui masih terdapat kelompongan dalam sistem deklarasi yang diamalkan sebelum ini dan ia juga perlu diaudit bagi memastikan ketelusannya.
"Apa yang penting apabila masuk bab dana politik, kita tahu siapa dapat apa, dari mana, berapa banyak dan bagaimana ia digunakan.
"Kita mahu masuk dalam pilihan raya dengan adil. Sebagai parti kecil, kami lebih fokus untuk dapatkan sokongan rakyat berdasarkan polisi dan idea kami," ujarnya.
Pendapat Mukhriz dipersetujui William Leong, Ahli Parlimen Selayang, yang menyifatkan fokus utama adalah memastikan tiadanya kekayaan yang tidak dapat dipastikan (unexplained wealth).
"Kita tak mahu bercakap tentang selebriti, ahli sukan dan sebagainya kerana kita tahu mereka ini dibayar mahal untuk pekerjaan mereka.
"Apapun, ia perlu berakhir dengan dari mana datangnya kekayaan itu, berdasarkan pekerjaan mereka dan status mereka dalam perkhidmatan.
"Setiap individu perlu menyediakan maklumat melalui pengisytiharan aset, berbanding dengan dana dalam akaun luar pesisir, dan di situ kita boleh lihat jika ada kekayaan yang tidak dapat dipastikan," katanya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, antara figura tempatan yang turut disebut dalam dokumen berkenaan.
#Pandora Papers #bank #Mukhriz Mahathir #wang
;