Pandemik satu cabaran terhadap strategi BSMM - Tunku Puteri Intan Safinaz

Madiha Abdullah
Mei 8, 2022 05:00 MYT
Tunku Puteri Intan Safinaz mengakui cabaran paling utama ketika itu adalah memastikan BSMM sebagai sebuah organisasi kemanusiaan, bergerak secara teratur dan strategik. -www.ysb.org.my
KUALA LUMPUR: Ketika pandemik COVID-19 mula melanda seluruh dunia, banyak pihak terpaksa menukar perancangan dan strategi bagi mendepani situasi yang tidak dijangka itu.
Tidak terkecuali, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) antara organisasi yang berdepan cabaran tersendiri dalam mengurus situasi sedemikian.
Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah mengakui cabaran paling utama ketika itu adalah memastikan BSMM sebagai sebuah organisasi kemanusiaan, bergerak secara teratur dan strategik.
"Fungsi BSMM sebagai auxiliary, organisasi yang diwartakan parlimen wajib berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan dan masyarakat di barisan hadapan.
"Setiap daerah dan negeri diberi tugasan, pergerakan mengikut strategi dengan koordinasi data ibu pejabat di mana kami kena tengok keperluan masyarakat yang terjejas.
"Kami edar kit kebersihan, bakul makanan dan kami mula buat talian set up psycho social support di mana orang ramai boleh telefon dan berkongsi tentang tekanan emosi yang mereka hadapi.
"Untuk program vaksinasi, saya bangga kerana kami dapat amanah kerajaan untuk buat house-to-house vaccination bagi mereka yang tidak mampu ke pusat vaksinasi seperti mereka yang terlantar dan bedridden serta mereka yang takut untuk tampil seperti gelandangan dan golongan yang tiada dokumentasi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu dalam program Agenda AWANI sempena sambutan tahunan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia, pada Ahad.
Pandemik, jelas Tunku Puteri, memberi pengajaran tentang kepentingan kerjasama antara organisasi serta mengelak persaingan, dan ia terpakai juga dalam situasi pemulihan pasca pandemik.
"Kolaborasi dan kerjasama antara organisasi sangat penting dan elak persaingan, perlu galakkan kolaborasi kalau kita mahu berjaya dalam sasaran kita di era pasca pandemik ini.
"BSMM terlibat dengan badan-badan dan NGO dalam national recovery committee, mengedar bantuan kewangan dan makanan di seluruh negara," katanya lagi.
Keutamaan beliau kini, tambahnya, ialah memastikan BSMM terus diterajui dengan visi yang kukuh, dengan kepimpinan yang muda yang berwawasan dan fokus pada usaha membawa kebaikan kepada masyarakat.
Agenda AWANI: Eksklusif bersama Pengerusi Kebangsaan BSMM
#Bulan Sabit Merah Malaysia #COVID-19 #pandemik #NGO #Tunku Puteri Intan Safinaz
;