Pandemik paksa upacara pencahayaan Tokong Kek Lok Si berlangsung secara dalam talian

Bernama
Februari 3, 2021 05:46 MYT
Upacara pencahayaan yang dijadualkan pada 7 Feb akan diteruskan menerusi penstriman langsung memandangkan penganut tidak dibenarkan berhimpun di premis tersebut. - Gambar/ Bernama
GEORGE TOWN: Pandemik COVID-19 ternyata telah mengubah kehidupan seharian kita dengan ketara malah ikon Pulau Pinang berusia 130 tahun, Tokong Kek Lok Si di Air Itam turut terkena tempiasnya apabila upacara pencahayaan di premis itu yang saban tahun berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran orang ramai, hanya boleh disaksikan menerusi penstriman langsung secara dalam talian pada tahun ini.
Setiap tahun, beratus-ratus orang akan berhimpun di sekeliling tokong itu untuk menyaksikan upacara pencahayaan yang menyaksikan suasana di premis tersebut bertukar menjadi tempat seindah kayangan apabila disimbahi cahaya lampu yang bergemerlapan.
Pemegang amanah tokong itu Datuk Seri Steven Ooi berkata upacara pencahayaan yang dijadualkan pada 7 Feb akan diteruskan menerusi penstriman langsung memandangkan penganut tidak dibenarkan berhimpun di premis tersebut susulan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata pavilion dan patung Dewi Kuan Yin setinggi 33.6 meter di tokong itu akan disinari cahaya semasa perayaan Tahun Baharu Cina.
"Sehingga hari ini, kami tidak pasti sama ada tokong ini akan dibuka kepada orang ramai semasa upacara pencahayaan pada 7 Feb.
"Jika situasi bertambah baik, kami akan menimbangkan untuk membenarkan pengunjung ke tokong ini.
"Bagaimanapun, kami telah mengupah sebuah syarikat penerbitan yang dilengkapi kamera dron untuk merakam upacara pencahayaan ini untuk penstriman langsung yang akan disiarkan di laman Facebook Kek Lok Si," katanya kepada Bernama.
Ooi berkata pihaknya juga tidak pasti mengenai pertunjukan bunga api pada 7 Feb namun semua lampu akan dinyalakan sehingga 11 Mac untuk tontonan ramai.
Beliau turut menggesa orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan agar menghubungi pihak tokong itu menerusi akaun Facebook atau melayari kekloksitemple.com untuk maklumat lanjut.
Lebih 10,000 tanglung tradisional Cina serta beribu-ribu lampu neon dan LED moden akan dinyalakan bagi menyinari kompleks tokong Buddha terbesar di Asia Tenggara itu sebagai menyambut ketibaan Tahun Lembu minggu depan.
Bagaimanapun, Ooi masih menaruh harapan agar pengunjung dan penganut dibenar memasuki tokong itu bulan depan, jika situasi COVID-19 sudah pulih.
"Jika dibenarkan, kami akan memastikan bahawa semua SOP dipatuhi termasuk mengawal jumlah pengunjung dan penganut di tokong iitu bagi mengelak kesesakan," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Tahun Baharu Cina #ikon #pulau pinang #Tokong Kek Lok Si #upacara pencahayaan #dalam talian #norma baharu
;