Pandemik COVID-19 dorong Badan Kehakiman lebih aktif dalam media sosial - Tengku Maimun

Firdaus Azil
Disember 31, 2020 17:48 MYT
Tengku Maimun berkata, hubungan yang berterusan dengan orang awam adalah penting untuk mendidik dan memberi mereka maklumat yang tepat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pandemik yang berlaku telah mendorong Badan Kehakiman untuk memainkan peranan proaktif dan bukan reaktif dalam bidang komunikasi terutamanya dengan kewujudan media sosial, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Dalam Amanat Tahun Baharu 2021 bertajuk “Mengimbas Kembali 2020, dan Aspirasi 2021” yang disiarkan hari ini, beliau berkata, hubungan yang berterusan dengan orang awam adalah penting untuk mendidik dan memberi mereka maklumat yang tepat.
Oleh itu, katanya lagi, melalui laman web dan melalui media sosial, Badan Kehakiman Malaysia telah secara konsisten mengeluarkan kenyataan akhbar sebagai makluman kepada semua mengenai perkembangan terkini operasi Mahkamah semasa tempoh pandemik.
“Untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, kita telah mengambil langkah untuk menyiarkan prosiding mahkamah yang dijalankan secara dalam talian untuk tontonan orang awam.
“Sebagai tambahan, kita juga telah menyiarkan upacara pelantikan hakim agar orang awam dapat menghargai proses tersebut, terutamanya upacara mengangkat sumpah, yang bukan sekadar istiadat semata-mata tetapi kehendak undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai penglibatan orang muda dalam Badan Kehakiman, Tengku Maimun berkata, Projek Courtroom to Classroom atau ‘MYC2C’, yang dilancarkan tidak lama dahulu adalah merupakan medium untuk mendidik pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai profesyen undang-undang dan institusi kehakiman.
Beliau berkata, ia dilakukan oleh hakim dan pegawai kehakiman yang melawat sekolah untuk mengajar para pelajar mengenai sistem perundangan negara.
“Sukacita saya memaklumkan bahawa projek ini telah diterima baik oleh orang awam. Pada tahun 2021, usaha ini akan diteruskan dengan lebih bertenaga.
“Kita telah merancang sukatan pelajaran atau modul tertentu untuk dilaksanakan sekurang-kurangnya di tiga lokasi berbeza di Kedah, Johor dan Sarawak,” katanya lagi.
BACA: COVID-19: Badan Kehakiman manfaat teknologi laksana prosiding dalam talian - Ketua Hakim Negara
BACA: Bermula 2021, perbicaraan kes lalu lintas dicadang lalui sistem elektronik sahaja - Ketua Hakim Negara
Selain itu, Tengku Maimun berkata, Badan Kehakiman kekal komited untuk meneruskan pelaksanaan projek Mahkamah Bergerak di mana Hakim dan kakitangan mahkamah membawa Mahkamah kepada orang awam – terutamanya yang berada di daerah terpencil – dengan kesungguhan yang lebih besar pada tahun yang akan datang.
Untuk orang awam membiasakan diri dengan Mahkamah, beliau berkata, Badan Kehakiman sedang berusaha untuk mewujudkan platform Mahkamah Maya.
“Platform ini pada asasnya adalah pautan di laman web yang membolehkan orang awam melayari Mahkamah secara maya dan melihat sendiri struktur Mahkamah yang disediakan.
“Pada masa ini, media interaksi ini hanya berkaitan dengan Istana Kehakiman. Kita merancang untuk mengembangkannya ke semua Mahkamah di seluruh Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu Tengku Maimun mengingatkan selain daripada kemajuan teknologi dan prasarana fizikal, apa yang paling utama ialah sumber manusia.
Setiap anggota Badan Kehakiman, tegasnya lagi, mestilah memiliki kualiti integriti, kompetensi dan kecekapan di samping sentiasa mengingati bahawa sebagai hakim, mereka tidak akan berpihak kepada sesiapa pun kecuali undang-undang.
“Tanpa ciri-ciri utama ini, keadilan tidak akan dapat dicapai dan kita akan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Saya mengulangi komitmen Badan Kehakiman untuk melaksanakan keadilan menurut undang-undang, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya lagi.
Tengku Maimun menegaskan, Hakim dan semua Pegawai Kehakiman adalah bebas untuk mengaplikasikan undang-undang tanpa mengambil kira kehendak mana-mana kumpulan tertentu atau pendapat umum.
#Badan Kehakiman #media sosial #Ketua Hakim Negara #Tengku Maimun Tuan Mat #pandemik #COVID-19 #undang-undang #mahkamah #Malaysia #operasi
;