Pandangan Allahyarham Harussani tak pernah terkeluar landasan hukum - Mufti Brunei
Sinar Harian
Oktober 4, 2023 11:20 MYT
Oktober 4, 2023 11:20 MYT
KUALA KANGSAR : Pendirian Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria yang berani dan berterus terang dalam menyuarakan pandangan berkaitan agama dikagumi Mufti Brunei.
Datuk Seri Paduka Dr Awang Abdul Aziz Juned berkata, sepanjang 36 tahun menggalas tanggungjawab sebagai mufti, tidak pernah sekalipun pandangan diberikan Allahyarham terkeluar daripada landasan hukum.
Menurutnya, perkara itu menjadikan Allahyarham seorang ilmuan dan ulama sejati dalam kalangan agamawan sendiri yang bukan sahaja dikasihi masyarakat umum bahkan raja dan sultan selaku ketua agama negeri.
"Inilah pemikiran ulama sebenar khasnya mufti untuk menjaga hubungan baik dan mesra dengan sultan dan raja-raja bertahap setia menjunjung titah perintah.
"Apabila perlu, akan menyembahkan nasihat-nasihat keagamaan yang berguna untuk istana dan pembangunan ummah. Adalah salah seorang daripada mereka itu Allahyarham Harussani.
"Beliau seorang mufti yang sangat liat, kuat memegang hukum, pernah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin negara untuk memperbetulkan hukum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini pada Selasa.
Ucapan beliau dipaparkan menerusi satu rakaman video berdurasi 45 minit.
Dalam ucapan itu, Dr Awang Abdul Aziz turut berkongsi pengalaman mengenai sifat kepimpinan Allahyarham ketika sama-sama menuntut di Kolej Islam Malaya.
Katanya, Allahyarham yang dipilih sebagai Pengerusi Badan Kesihatan dan Pemakanan dengan tenang menerima ejekan dan sindiran tajam daripada pelajar lain berikutan aduan masakan kari ayam di kolej yang keras dan tidak boleh dimakan.
"Allahyarham mengadakan perjumpaan dengan pentadbiran dan pemborong, beberapa hari selepas itu kami dengan sukacitanya telah disajikan lauk kari ayam yang sama, tetapi kali ini dagingnya empuk dan mudah dikunyah.
"Dari sinilah saya dapat mengesan bahawa Allahyarham mempunyai ciri-ciri istimewa selaku pemimpin, memiliki peribadi kukuh dan bijak dalam hadapi ujian," katanya.
Beliau berkata, satu peristiwa yang masih segar dalam ingatan apabila dapat menyaksikan sendiri pelukan erat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap Allahyarham yang menterjemahkan hubungan baik antara ulama dan umara (pemimpin).
Katanya, detik itu berlaku pada Februari 2018 dalam satu majlis muzakarah ketika Sultan Nazrin berangkat naik ke pentas tetapi tidak terus duduk di kerusi disediakan sebaliknya menyimpang ke arah Allahyarham dan terus memeluknya.
"Kerusi Allahyarham betul-betul bersebelahan kerusi saya menjadikan apa yang saya saksikan ini tidak mungkin salah.
"Maka melihat umara berpelukan dengan ulama adalah tanda di sini ada kebaikan berupa keberkatan dan rahmat buat rakyat Perak," katanya.
Dr Awang Abdul Aziz mengharapkan, hubungan baik antara ulama dan umara yang dipamerkan Allahyarham terus dicontohi bagi memandu masyarakat dan negara berada pada jalan yang benar.
Jelasnya, sejarah terdahulu telah menampakkan para umara bermusuhan dengan ulama antaranya menganggap agamawan menjadi batu penghalang kepada kemahuan mereka yang menyalahi hukum agama.
"Semua raja-raja baik di Brunei dan di Semenanjung tiada yang menyakiti ulama, malah menjadikan ulama sebagai pendamping rapat kepada baginda-baginda.
"Lantaran itu takhta-takhta mereka kekal bertahan lama sampai ratusan tahun dan tidak pernah binasa," katanya.
Seminar anjuran USAS yang berlangsung selama dua hari sehingga Rabu itu membentangkan 24 kertas kerja hasil kajian dan penyelidikan terhadap pemikiran dan sumbangan Allahyarham Harussani sepanjang hayat beliau.
Pembentang utama termasuklah, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran.
Allahyarham Harussani yang meninggal dunia pada 30 Mei 2021 merupakan Mufti Perak paling lama berkhidmat dalam sejarah iaitu selama 36 tahun sejak 1985 hinggalah beliau kembali ke rahmatullah. - Sinar Harian