Pandangan Agong buka semula Parlimen petanda proklamasi darurat gagal - UPKO

Astro Awani
Jun 17, 2021 14:19 MYT
UPKO menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibuka adalah petanda proklamasi darurat menangani COVID-19 gagal sepenuhnya.
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya membuka semula Parlimen adalah petanda bahawa sememangnya proklamasi darurat untuk menangani COVID-19 gagal sepenuhnya.
Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO juga melihat titah Seri Paduka Baginda itu sebagai keputusan untuk menidakkan cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sekali gus menjunjung kasih perkenan permohonan parti itu menolak Mageran.
Madius berkata, UPKO menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda serta Majlis Raja-Raja Melayu di atas keputusan dan titah meminta supaya Parlimen dibuka dengan segera.
"Menyedari hakikat bahawa Seri Paduka Baginda adalah tunggak utama Parlimen maka titah supaya Parlimen dibuka hendaklah diambil tindakan serta merta.
"Oleh itu, di atas titah Yang di-Pertuan Agong tersebut Yang Dipertua Dewan Rakyat seharusnya mengambil tindakan sewajarnya dan bukan menerima arahan daripada seorang menteri sebelum bertindak," katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
#Buka semula Parlimen #Yang di-Pertuan Agong #Wilfred Madius Tangau #Ahli Parlimen Tuaran
;