Panda Mania: Kehadiran panda undang keterujaan ramai
Tan Su Lin
Mei 20, 2014 23:54 MYT
Mei 20, 2014 23:54 MYT
Kedatangan pasangan panda dari China pada Rabu, pastinya mengundang keterujaan orang ramai.
Dua panda yang menjadi duta ke Malaysia dijangka tiba melalui Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pukul 6 pagi.
Dari situ, pasangan panda tersebut akan terus dibawa ke Zoo Negara dan bakal dikuarantin selama lebih kurang sebulan di Kompleks Panda Gergasi yang telah siap dibina.
Pengunjung Zoo Negara rata-rata tidak sabar melihat dengan lebih dekat lagi kehadiran dua panda gergasi, Fu Wa (panda jantan) dan Feng Yi (panda betina) yang bakal tiba buat pertama kali di Malaysia.
Antaranya mereka tertarik dengan kecomelan haiwan itu dan ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai beruang panda yang disifatkan unik dan amat jarang dijumpai.
"Terujalah mestilah mahu tengok sebab dia dari china datang sini jadi kita boleh tunjuk panda itu kepada anak-anak kita" kata salah seorang pengunjung, Nor Izati Saat.
Ada yang ingin mempelajari mengenai panda dan keistimewaan haiwan itu.
"Yang kita tahu pasal panda dia memang jarang ada di Malaysia ini dan mostly kita nak tengok dekat China sahaja yang datang ke Zoo Negara itu yang tak sabar nak tengok panda ini." kata Mohd Azizi Mohd Nor yang bercadang membawa keluarganya nanti.
Seorang lagi pengunjung bercadang melawat panda berkenaan tahun hadapan berikutan menjangka orang ramai pasti berpusu-pusu ke Zoo Negara untuk melihat haiwan berkenaan.
"Kami bercadang membawa anak-anak untuk melihat panda mungkin tahun hadapan apabila tidak begitu ramai orang. Memang sesuatu yang menarik kerana sebelum ini lama zoo tiada pameran haiwan baru sehingga tibanya panda ini." kata Kheng Leng yang ingin tahu sama ada panda akan dibiakkan di Malaysia dan adakah Malaysia akan menyimpan bayi panda itu.
Apa yang pasti, kehadiran pasangan panda Fu Wa dan Feng Yi bakal menjadi penyeri kepada Zoo Negara.
Segala persiapan dijalankan bukan sahaja membina kompleks khas untuk menempatkan panda gergasi itu, malah kehadirannya dijangka mengubah lanskap Zoo Negara itu sendiri yang kini berubah wajah.
Fu Wa dan Feng Yi bakal menjadi tarikan utama sekali gus menjamin pulangan tetap kepada kepada Zoo Negara dari segi tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Lebih sejuta pelancong tempatan dan antarabangsa dijangka melawat panda berkenaan di Zoo Negara apabila kompleks panda gergasi dibuka kepada orang ramai Jun nanti.
Menurut Timbalan Pengarah Pentadbiran Zoo Negara, Shahril Sharif bagi menampung bilangan pengunjung yang dijangka meningkat, pengurusan zoo turut menerima bantuan kerajaan bagi menaiktaraf kemudahan dan infrastuktur sedia ada.
"Bagi FRIM mereka naik taraf bahagian landskap, NAHRIM bahagian task, JPS bahagian infrasturtur jadi kita harap dengan naik taraf pengunjung rasa lebih seleas apabila berkunjung ke zoo ini." kata Shahril.
Kehadiran panda gergasi itu juga menjadi penyuntik semangat kepada Zoo Negara untuk menyaingi zoo lain di peringkat antarabangsa.
"Kami amat besar hati dengan kedatangan panda. Kami melihat ia sebagai satu rahmat kepada kami. Kami amat mengalu-alukan bantuan kerajaan dan dengan ada panda kami akan lebih agresif dan setanding zoo lain." tambah Shahril lagi.
Sekiranya dahulu Zoo Negara mungkin kelihatan sedikit suram kini dengan ketibaan pasangan panda dari China ia bakal membuka lembaran baharu bagi zoo yang telah berusia 51 tahun itu.
"Dengan pengalaman dan kepakaran kami ada insyaallah dengan adanya panda ini dia menambah semangat kami untuk menambah semangat kami untuk ilmu kita lebih maju ke depan lagi." kata Shahril.
Tinjauan Astro Awani juga mendapati kesemua jalan di zoo itu telah dinaik taraf, dengan lebih banyak kawasan rehat, dan kafeteria serta kemudahan tandas disediakan untuk keselesaan pengunjung.
Bahagian pameran haiwan lain di zoo berkenaan turut menerima kesan positif dengan kehadiran pasangan panda itu.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel menyifatkan ketibaan pasangan panda gergasi itu signifikan dalam konteks hubungan antara Malaysia dan China.
Ini kerana kedua-dua negara bakal merayakan sambutan ulang tahun ke-40 jalinan hubungan diplomatik mereka.
Pasangan panda yang dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi antara Malaysia dan Republik Rakyat China itu telah ditandatangani pada 2012.