Panda akan tiba di Zoo Negara akhir tahun ini
T K Letchumy Tamboo
April 12, 2013 13:46 MYT
April 12, 2013 13:46 MYT
Rakyat Malaysia akan berpeluang untuk melihat pasangan panda gergasi di Zoo Negara sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal daripada yang dijangka.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata ini adalah kerana kementerian itu yakin bahawa pusat konservasi dan pameran panda yang bakal dibina di kawasan itu, akan siap dalam jangka masa yang telah ditentukan.
“Pembinaan eksibit ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan November 2013 dan panda akan tiba di sini pada bulan Disember 2013,” katanya selepas menyerahkan tapak projek iru kepada contractor Syarikat Damaikon Sdn Bhd.
Eksibit haiwan dan pelan landskap
Douglas berkata pembinaan pusat konservasi itu akan bermula serta-merta.
Douglas juga berkata pakar dari Malaysia akan dihantar ke Cina untuk belajar tentang cara-cara menjaga panda-panda itu.
“Pakar dari Cina juga akan datang ke Malaysia untuk memastikan eksibit panda ini mematuhi syarat agensi-agensi di negara itu.
“Kami berharap panda-panda ini akan membesar dengan sihat di sini dan mungkin melahirkan anak di sini,” katanya lagi.
Douglas juga berkata setakat ini kementerian itu telah menerima sebanyak 2, 324 cadangan nama dari rakyat Malaysia untuk pertandingan menamakan panda tersebut.
“Kami akan mengumumkan pemenang pertandingan ini tidak lama lagi.
Sementara itu, pengarah Multi Spex Architects Zulkhairi Md Zain yang bertanggungjawab untuk mereka eksibit panda itu berkata inspirasi rekaan tersebut datang daripada habitat panda di Sichuan.
Beliau juga berkata eksibit yang berkeluasan 4,000 meter persegi mampu menampung seekor anak panda sekiranya pasangan panda itu melahirkan anak.
'Artist's impression' konservasi panda
“Pusat konservasi yang bakal dibina ini juga akan mempunyai sebuah kafe, klinik, pusat pembelajaran dan tempat peyimpanan buluh,” katanya.