Pancing Ahli Parlimen PH 9 Mei: Saya tidak arahkan - Najib
Arfa Yunus
November 21, 2018 15:42 MYT
November 21, 2018 15:42 MYT
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan tidak wujud sebarang arahan untuk ‘memancing’ Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan Melayu-Islam bersama Pas pada malam 9 Mei lalu.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu jika ada sebarang pembabitan pihak lain dalam usaha berkenaan pada malam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu.
"Tiada arahan yang dibuat oleh UMNO untuk memancing undi calon-calon atau wakil-wakil rakyat PH.
"Kalau ada pihak lain yang melakukan perbuatan itu, saya tak tahu. Tetapi, dari pihak saya, pada malam itu, tiada arahan," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat cubaan oleh UMNO dan Pas untuk menarik Ahli Parlimen PH bagi membentuk kerajaan Melayu-Islam pada tarikh itu, susulan kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14.
Perdana Menteri dilaporkan berkata demikian menerusi satu temu bual yang disiarkan majalah Mekong Review edisi terbaru bulan Oktober.
Katanya, cubaan ‘di sebalik tirai’ itu dilakukan beberapa jam sebelum keputusan rasmi PRU14 diumumkan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui berkata, pihaknya juga tidak melakukan sebarang usaha untuk menarik Ahli Parlimen PH.
"Sebagai timbalan presiden, saya mengesahkan, tiada muafakat pada malam itu, seperti mana yang diucapkan oleh beliau (Dr Mahathir)," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Namun, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa tidak menafikan wujud rundingan sedemikian.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila diajukan perkara itu oleh wakil media, juga di lobi Parlimen hari ini.
"Saya rasa ia berlaku dalam mana-mana pilihan raya umum, di mana-mana negara. Apabila timbul situasi yang tidak pasti, biasanya, rundingan tertentu akan dilakukan.
"Saya rasa ia sesuatu yang normal. Kerana, pada 9 Mei itu, keadaan tidak jelas. Jadi, saya tidak menafikannya. Tetapi, saya tidak tahu butirannya, seperti siapa yang terlibat, dan sebagainya," katanya.
#Annuar Musa
#Barisan Nasional
#kerajaan Melayu-Islam
#Mekong Review
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#pancing
#PAS
#pilihan raya umum
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#UMNO