Panas melampau sehingga hutan, lalang terbakar

Adie Sufian Zulkefli
Februari 20, 2018 11:09 MYT
Pihak Bomba cuba memadamkan api di kawasan lalang yang diakibatkan cuaca panas melampau di Alor Setar, Kedah. - Astro AWANI
Beberapa kawasan hutan dan belukar mengalami kebakaran ekoran cuaca panas melampau yang melanda utara tanah air ketika ini.
Suhu sehingga mencecah 38 darjah Celsius akibat tiada hujan selama lebih tiga minggu turut mengundang kepada faktor kebakaran.
Menurut Pengarah Bomba Kedah, Abdul Razak Muda, pihaknya menerima lebih 30 panggilan setiap hari melibatkan kebakaran di kawasan terbuka itu.
Katanya, lebih memburukkan keadaan ialah musin pembakaran jerami yang kini dilakukan pesawah.
Abdul Razak menasihatkan pesawah supaya hanya melakukan pembakaran mengikut keadaan angin, tidak pada waktu tengah hari atau petang kerana tiupan angin pada waktu itu agak kuat dan bara api mungkin berterbangan ke kawasan belukar berdekatan.
"Kalau boleh juga, jangan buat (pembakaran) secara serentak kerana ia akan memburukkan keadaan. Kalau setakat tiga atau empat tompok, masih boleh dikawal lagi," katanya.
Tambahnya, lebih membimbangkan pembakaran itu berhampiran dengan lebuhraya dan ianya menyebabkan asap tebal menutupi jalan sekaligus membahayakan pengguna jalan raya.
Sebagai langkah pengawalan, pihak Bomba dan Penyelamat menempatkan lebih dari 10 buah lori tangki berkapasiti 20,000 liter air di lokasi berisiko kebakaran atau 'hotspot'.
Ini bagi memastikan anggota bersama jentera segera sampai ke lokasi sebelum api merebak ke kawasan lain.
Tahun lepas, Kedah mencatatkan kes kebakaran hutan dan belukar paling tinggi di negara ini.
Sepanjang 2017, sebanyak 1,269 kes kebakaran hutang dan lalang direkodkan di seluruh negara kecuali Kedah.
Kedah sahaja merekodkan 1,248 kes.
#Alor Setar #bakar jerami #kebakaran #kebakaran hutan #kebakaran lalang #Kedah #kemarau #sawah padi
;