Pan Borneo: Persimpangan Bintangor-Julau kini dibuka
Afiezul Samit
November 20, 2021 13:15 MYT
November 20, 2021 13:15 MYT
SARIKEI: Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak terus mencipta kejayaan, apabila jajaran keduanya dirasmikan penggunaannya pada Sabtu.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Stadium William Mawan di sini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi dan Adun Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom.
Menurut Fadillah, jajaran tersebut melibatkan kerja-kerja naik taraf persimpangan Bintangor ke persimpangan Julau sepanjang 28.5 kilometer.
Ia menyaksikan jalan persekutuan ini ditambah daripada dua lorong ke empat lorong dan telah siap sepenuhnya pada 28 Oktober lalu.
Keseluruhan Kontrak Pakej Kerja 07 ini katanya, menelan kos sebanyak RM537.4 juta, melibatkan
persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua sepanjang 75 kilometer, yang dipecah kepada tiga seksyen.
Dengan siapnya laluan ini katanya, ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan Julau dan sekitarnya.
"Jajaran ini akan menyediakan akses perhubungan darat yang selesa dan cekap terutama kepada penduduk di sekitar kawasan Sarikei dan Bintangor ke Kanowit dan Sibu.
"Laluan ini juga akan membantu dalam mempermudahkan urusan logistik dan pemasaran hasil pertanian, khususnya dari kawasan Julau,"ujar Fadillah.
Projek Lebuh Raya Pan Borneo merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan Kementerian Kerja Raya.
Ia melibatkan sistem jalan raya sepanjang 2,239 kilometer dari Sematan, Sarawak ke Serudong, Sabah.
Selain laluan jalan bertaraf tinggi, projek ini turut melibatkan pembinaan tiga kawasan rehat dan santai, enam layby, 25 persimpangan bertingkat serta 115 jambatan dan hentian bas.