Pan Borneo Lahad Datu bakal pacu pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk

Bernama
Disember 19, 2016 21:43 MYT
Datuk Seri Najib menandatangani lapan plak sewaktu pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak-8 Pakej Kerja Pembinaan jajaran Sematan-Miri - fotoBERNAMA
Penduduk Lahad Datu dan daerah sekitar di Sabah bakal menikmati manfaat daripada projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej Jalan Pintas Lahad Datu yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan iaitu hujung 2018.
Pelancaran projek yang dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mampu merangsang serta memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk di kawasan sekitar dengan lebih pantas.
Projek bernilai RM165 juta itu bermula dari Batu 7 Jalan Silam di Lahad sehingga Batu 3 Jalan Segama yang merangkumi jarak tujuh kilometer.
Projek dilaksanakan itu merangkumi pembinaan jalan raya baharu empat lorong dua hala yang bakal memendekkan jarak dan masa perjalanan penduduk dari Tawau ke Sandakan atau sebaliknya dari 14 kilometer kepada tujuh kilometer.
Antara lain kerja pembinaan adalah melibatkan dua persimpangan bertingkat serta sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Sepagaya sepanjang 32 meter yang turut mengambil kira kriteria seismik atau gempa bumi.
Dalam pada itu, penduduk Lahad Datu yang ditemui Bernama berasa gembira dengan inisiatif kerajaan dalam membangunkan infrastruktur jalan raya bagi memastikan rakyat menikmati manfaatnya.
Seorang usahawan Lahad Datu, Sari Arshad, 64, berkata jalan pintas Lahad Datu itu akan menjadi pemangkin kepada ekonomi daerah di samping memudahkan pergerakan penduduk.
"Lahad Datu merupakan hab kelapa sawit, koko, serta hasil pertanian lain dan menerusi kewujudan projek jalan pintas ini akan memudahkan urusan pasaran dan logistik bagi industri kecil dan sederhana penduduk setempat," katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Cina Lahad Datu Tan Cheng Teng, 58, berkata pembinaan itu membantu membaiki jaringan infrastruktur dan logistik bagi industri-industri yang difokuskan di bawah wilayah koridor Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) termasuk Palm Oil Industrial Cluster (POIC).
"Saya gembira kerana kita (masyarakat Lahad Datu) turut menikmati kesenangan dengan pelbagai pembangunan yang akan dilaksanakan di negeri ini di bawah pimpinan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah," katanya.
Sementara itu, Muhammad Abdul Karim, 37, menyokong penuh usaha kerajaan dalam projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah itu yang dilihat turut membangunkan sektor pelancongan Sabah.
"Melalui jalan pintas ini pengguna yang melalui lebuh raya tanpa tol itu dapat memendekkan jarak dan menjimatkan masa mereka yang suka memandu sendiri.
"Mereka ini boleh melancong ke setiap daerah sambil menikmati perjalanan selesa melalui Lebuhraya Pan Borneo Sabah," katanya.
Pakej pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang merangkumi jarak 1,236 kilometer iaitu melibatkan jajaran Papar-Donggongon sepanjang 11.7 kilometer dan Jalan Tawau-Sandakan sejauh 327 kilometer telah pun dilancarkan pada April dan Mei tahun ini. - BERNAMA
#Lahad Datu #Lebuhraya Pan Borneo Sabah #projek lebuhraya
;