Pampasan RM100 juta atau terus tebang balak

Astro Awani
Februari 14, 2013 20:53 MYT
AZIZAN: Beri pampasan RM100 juta atau balak akan banyak ditebang.
Pampasan RM100 juta atau Kedah akan terus menebang balak.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak cuba mengalih pandangan rakyat terhadap isu pembalakan di Tasik Pedu dengan memberi kata dua kepada kerajaan pusat.
Namun, timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, permintaan itu tidak rasional dan ia dianggap sebagai ugutan terhadap rakyat.
Jelasnya ini kerana wang yang dibayar oleh kerajaan pusat itu adalah wang rakyat.
Katanya, setelah membuat rakyat terhimpit dengan isu tersebut, Azizan dengan mudah meminta imbuhan daripada wang rakyat.
Tambah Mukhriz, tiada perjanjian bertulis di antara kerajaan pusat dan negeri berhubung pemberian pampasan itu.
“Perjanjian seharusnya dalam bentuk bertulis dan melibatkan dua orang yang akan menandatangannya. Takkan perjanjian lisan yang hendak dipegang dan satu lagi, beliau tidak terlibat pun dalam perbincangan lisan itu,” kata Mukhriz.
Mukhriz mengeaskan jika perkara itu dibawa ke mahkamah sekalipun, pastinya membawa kegagalan kerana tiadanya sebarang surat perjanjian.
Azizan pada Rabu bertegas kerajaan negeri akan terus menebang balak di hutan simpan jika kerajaan pusat enggan membayar pampasan tersebut.
Tuntutan itu dibuat sejajar dengan janji lisan oleh Tun Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri sewaktu isu balak hangat diperkatakan di Kedah.
Azizan mendakwa, semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, pampasan itu turun kepada RM60 juta.
Malah apabila Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar Kedah, tuntutan itu tidak diteruskan.
#balak #Datuk Mukhriz Mahathir #Datuk Seri Azizan Razak #Kedah #kerajaan negeri #kerajaan pusat
;