Pampasan MH370: MOT harap dapat sokongan Perdana Menteri
Firdaus Azil
Mac 8, 2020 10:03 MYT
Mac 8, 2020 10:03 MYT
Kementerian Pengangkutan akan berbincang dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kertas kabinet mengenai isu pampasan kepada waris terdekat mangsa penerbangan MH370.
Ketua Setiausahanya Datuk Isham Ishak berkata, beliau akan membawa isu ini dalam pertemuannya bersama Muhyiddin yang dijadualkan akan berlangsung minggu hadapan.
“Saya telahpun membuat temu janji untuk berjumpa dengan Perdana Menteri bagi mendapatkan sokongan beliau mengenai perkara ini.
“Dalam pertemuan itu kami akan menerangkan perincian (kertas Kabinet) dan kami sangat berharap waris MH370 yang berkaitan dapat pampasan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap di Majlis Ulang Tahun Ke-Enam Mh370, di sini, Sabtu.
Isham berkata, beliau mengharapkan agar waris MH370 akan terus tabah dan tidak hilang kepercayaan kepada kerajaan, meskipun sudah bertukar pentadbiran.
Jelasnya lagi, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan sentiasa berharap munculnya petunjuk baharu mengenai misteri kehilangan pesawat itu, sekali gus membolehkan misi pencarian diteruskan.
Pada 8 Mac, 2014, pesawat Malaysia Airlines MH370 bersama 239 orang penumpang termasuk anak kapal, telah hilang dari radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.
Ekoran kehilangan pesawat itu, satu usaha pencarian yang terbesar dalam sejarah penerbangan, melibatkan beberapa negara, telah dilakukan namun akhirnya menemui jalan buntu.
Operasi bersepadu itu telah dihentikan pada Januari 2017, tetapi telah disambung semula oleh sebuah syarikat swasta pada Januari tahun lepas, namun tetap tidak berjaya.
Dalam majlis itu, bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memberitahu hadirin, bahawa kertas cadangan itu sepatutnya telah dibawa dalam satu mesyuarat Kabinet pada 26 Februari lepas, namun tidak kesampaian ekoran pertukaran kerajaan secara mendadak.
Namun, tegas Ahli Parlimen Seremban itu lagi, beliau secara peribadi akan berjumpa dengan menteri baharu yang akan dilantik nanti, bagi merayu kertas itu menjadi keutamaan dalam mesyuarat Kabinet seterusnya.
Loke berkata, beliau juga akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi fasilitator antara waris MH370 dan kerajaan baharu sekiranya diperlukan nanti.
#2014
#Beijing
#Isham Ishak
#kabinet
#Kementerian Pengangkutan
#Malaysia Airlines
#MH370
#Muhyiddin Yassin
#operasi
#Perdana Menteri