Pampasan ECRL tidak setinggi hutang bakal ditanggung - Tun Mahathir

Wan Syamsul Amly
Januari 29, 2019 15:07 MYT
Gambar fail 26 Mac 2018 menunjukkan tapak projek ECRL dalam pembinaan di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. - BERNAMA
Jumlah hutang yang lebih tinggi akan ditanggung kerajaan seandainya melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berbanding pembatalan kontrak bersama China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan membuat pembayaran pampasan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kenyataan mengenai status sebenar projek ECRL hanya akan dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam masa terdekat.
"Jumlah bayaran pampasan yang besar tidaklah sebesar jumlah hutang yang kita akan tanggung untuk tempoh 30 tahun akan datang," katanya semasa sidang media selepas pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.
Isu mengenai kontrak CCCC bagi membina ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan sepanjang kira-kira 688 kilometer itu mencetuskan tanda tanya berikutan perbezaan kenyataan yang dibuat pemimpin kerajaan.
Guan Eng sebelum ini terkejut dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pembatalan projek ECRL diterajui CCCC.
Beliau berkata, Mohamed Azmin mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat Dr Mahathir sewaktu mesyuarat Kabinet pada Khamis lalu.
Sebelum ini, portal berita Straits Times yang berpangkalan di Singapura melaporkan penamatan kontrak itu dilaksanakan susulan kegagalan CCCC mengurangkan kos projek kepada separuh iaitu RM40 bilion berbanding RM81 bilion selain menepati beberapa permintaan kerajaan.
#Azmin Ali #CCCC #China #China Communications Construction Group Ltd #ECRL #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Singapura
;