Pameran Show-Tech tonjol hasil inovasi dan penyelidikan MARDI
Bernama
Julai 24, 2023 04:20 MYT
Julai 24, 2023 04:20 MYT
SERDANG: Lebih 300 teknologi dan hasil inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bakal menjadi tarikan utama Showcase Technology MARDI 2023 (Show-Tech) yang akan berlangsung di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) di sini selama tiga hari bermula 25 Ogos depan.
Ketua Pengarah MARDI Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata antara inovasi yang akan dipamerkan termasuk varieti padi dan kelapa, teknologi internet benda (IoT) dalam pertanian dan pertanian pintar.
Bercakap pada sidang media selepas sesi taklimat Show-Tech MARDI 2023 di sini hari ini, Mohamad Zabawi berpendapat nama MARDI kurang dikenali dalam kalangan usahawan dan petani mahupun rakyat Malaysia walaupun agensi itu telah bertapak di Malaysia sejak tahun 1969.
"Mudah-mudahan dengan program dan pameran ini, orang nampak sumbangan MARDI kepada negara, contohnya 53 varieti padi yang dimakan di Malaysia adalah hasil penyelidikan MARDI.
"Penanam padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di Sekinchan (Selangor) juga menggunakan varieti yang dibangunkan MARDI," katanya mengulas mengenai signifikan MARDI kepada sektor tanaman negara.
Mohamad Zabawi turut menyasarkan 500,000 pengunjung ke Show-Tech MARDI 2023 yang boleh dimasuki secara percuma.
Antara pengisian Show-Tech MARDI 2023 merangkumi pameran teknologi, demonstrasi pembuatan makanan, seminar teknologi, sesi pemadanan perniagaan dan klinik tanaman serta usahawan.
Selain pameran dalam Dewan A MAEPS, pengunjung juga berpeluang melihat secara lebih dekat plot tanaman jagung, bawang, kubis bulat dan sistem tanaman bertingkat serta aktiviti sampingan lain seperti karnival makanan dan jualan produk usahawan.
-- BERNAMA