Pameran motosikal MIMS 2016 gabung 20 jenama terkemuka dunia

Azyyati Ahmad
Oktober 10, 2015 15:46 MYT
Datuk Abdul Rauf Yusoh ketika merasmikan program MIMS 2016 yang bakal diadakan tahun depan- Foto Astro AWANI
Pameran Motosikal Antarabangsa Malaysia 2016 (MIMS) yang menampilkan hampir 20 jenama terkemuka dunia bakal diadakan di ibu negara pada Januari tahun hadapan.
Menurut penaungnya, Datuk Abdul Rauf Yusoh, program yang julung kali diadakan ini bakal mencipta sejarah dengan mempamerkan motosikal jenis Triumph Rocket yang berkuasa 2300cc iaitu yang tertinggi di dunia.
Pameran yang bakal diadakan antara 8 hingga 10 Januari tahun hadapan turut menawarkan cabutan bertuah antaranya sebuah motosikal jenis Triumph model Street Triple -R berkuasa 675 cc yang bernilai RM56,000 kepada pengunjung bertuah.
Program yang turut mendapat kerjasama dengan Kementerian Pelancongan ini dijangka menarik kunjungan peminat motosikal dari seluruh pelusuk dunia.
Ia memfokuskan kepada pameran motosikal dan aksesori kepada peminat-peminat jentera berkuasa tinggi ini.
Program yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Zahid Hamidi di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menampilkan jenama motosikal terkemuka dunia seperti Ducati, Yamaha, Suzuki, KTM serta Triumph selaku penaja rasmi.
#Abdul Rauf Yusoh #MIMS #Pameran Motosikal Antarabangsa Malaysia
;