Pameran 'Lagi Lagi Gila Gila' imbau nostalgia pembaca

Astro Awani
Mei 29, 2015 18:48 MYT
Walaupun berbentuk humor, Gila-Gila terkenal dengan identiti tradisionalnya dengan sering membawakan karikatur yang berlatarbelakangkan kisah-kisah di kampung. - Foto Astro AWANI
Majalah humor pertama negara 'Gila-Gila' yang menjadi bahan bacaan ramai sejak tahun 70-an kini dibawa ke ruang Galeri Petronas KLCC.
Sejak dibuka pada 14 April lalu, pameran 'Lagi Lagi Gila Gila' telah dikunjungi oleh lebih 15,000 pelawat.
Walaupun berbentuk humor, Gila-Gila terkenal dengan identiti tradisionalnya dengan sering membawakan karikatur yang berlatarbelakangkan kisah-kisah di kampung.
Menurut kartunis pelopor majalah tersebut, Jaafar Taib , pameran itu membangkitkan nostalgia zaman kegemilangan majalah Gila-Gila yang sudah bertapak 37 tahun di dalam industri penerbitan.
Beliau turut akui, pameran ini turut mengangkat martabat karikatur tanah air.
“Selepas 37 tahun, pameran ini dilihat bagai mengimbas kembali kenangan-kenangan pengunjung dengan majalah Gila-Gila. Pameran begini juga saya lihat telah mengangkat kartunis kepada satu lagi tahap,” katanya.
Temubual bersama kartunis-kartunis pelopor majalah Gila Gila
Sementara, ikon kartunis negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat turut menggalakkan karikatur dijadikan sebagai medium dalam mencabar minda pembaca.
“Negara-negara barat dan timur sudah lama menggunakan kartun sebagai medium terpenting. Di Jepun misalnya, mereka menggunakan komik untuk menyampaikan subjek mengenai ekonomi,” katanya yang turut merasmikan pameran tersebut pada Khamis.
Pada pameran ini, pengunjung berpeluang melihat karya-karya menarik dari kartunis Gila-Gila seperti Ujang, Mishar, Jaafar Taib, Azman Yusuf, Don, Aza, Rejabhad, Rashid Asmawi dan lain -lain lagi.
Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai sehingga 15 Januari di Galeri Petronas, Aras 3, Suria KLCC.
Pameran Lagi Lagi Gila Gila dirasmikan oleh ikon kartunis negara, Datuk Lat
Hasil karikatur dari kartunis Jaafar Taib
Antara koleksi majalah Gila Gila dari tahun 70 an yang dipamerkan di ruang Galeri Seni Petronas
Ikon majalah yang terkenal dengan pepatah humor, Profesor Serba Tahu
#Gila Gila #Pameran Lagi Lagi Gila Gila
;