Pameran kereta terbesar Malaysia Autoshow kembali Mei ini

Bernama
Januari 25, 2023 09:24 MYT
Pameran kereta Malaysia Autoshow akan kembali pada 4 hingga 7 Mei ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
KUALA LUMPUR: yPameran kereta Malaysia Autoshow akan kembali pada 4 hingga 7 Mei ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) selepas tiga tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik COVID-19.
Pameran itu direka untuk memaksimumkan potensi buat kedua-dua pemain industri dan pengguna, dengan membangunkan kesedaran pasaran mengenai produk dan perkhidmatan mobiliti masa depan bagi mendorong pasaran pengguna yang lebih berpengetahuan tentang teknologi.
Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Phang Ah Tong berkata, Malaysia Autoshow 2023 adalah bukti pertumbuhan pelbagai pilihan kepada pengguna dan pemangkin kemajuan pembangunan kereta eletrik (EV) di Malaysia.
"Ini selari dengan usaha kerajaan, menyokong dan memudah cara pemain industri tempatan dan antarabangsa dalam pembangunan EV dalam arena automatif Malaysia," katanya.
Bertemakan 'Mobility Redefined' (mobiliti ditakrif semula) tahun ini, turut diperkenalkan ciri-ciri baharu dalam acara tersebut, seperti 'Malaysia Bike Show' dan 'Malaysia EV Show and Charged'.
"Malaysia Bike Show akan mempamerkan pelbagai pilihan motosikal daripada 'sports bikes' kepada 'trail dirt bikes'.
"Sementara itu, Malaysia EV Show and Charged akan memfokuskan kepada pelbagai jenis kenderaan elektrik, teknologi mengecas kenderaan serta aksesori, bahagian dan aplikasi digital yang termasuk dalam ekosistem EV," kata Phang.
Beliau berkata, pameran itu salah satu daripada program perdana MARii untuk berinteraksi secara langsung dengan orang awam, bukan sahaja sebagai satu acara mempamerkan kenderaan generasi akan datang (NxGVs), tetapi juga platform untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan kenderaan, perlindungan alam sekitar dan perluasan pasaran teknologi dan kejuruteraan tempatan.
Pada edisi kali ini, pengunjung diajak untuk mencuba kenderaan terkini di laluan ujian sepanjang tiga kilometer (km), menimba pengalaman mengenai ciri-ciri teknologi kenderaan dan mengambil bahagian dalam aktiviti mobiliti dalam dewan dan luar, dalam ruang pameran berkeluasan 30,000 meter persegi di MAEPS.
Phang berkata, pakar industri dan perniagaan juga akan meraih manfaat daripada pelbagai syarahan industri, pameran dan sesi perkongsian yang diadakan sepanjang acara empat hari itu.
Malaysia Autoshow 2019 sebelum ini melibatkan 32 pengeluar peralatan asal (OEM) dan 170 pempamer daripada tujuh negara di MAEPS. - BERNAMA
#Malaysia Autoshow #pameran kereta Malaysia #Malaysia Bike Show #Maeps