Pameran Eksklusif Tugu Negara ingati Tunku Abdul Rahman bermula hari ini
Astro Awani
November 30, 2022 18:18 MYT
November 30, 2022 18:18 MYT
KUALA LUMPUR: Sempena mengingati peranan dan sumbangan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Arkib Negara menganjurkan Pameran Eksklusif Tugu Negara dan Bicara Negara di Memorial Tunku Abdul Rahman bermula hari ini.
Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, pameran itu diadakan dengan kerjasama Kedutaan Austria di Malaysia sebagai mengimbau kembali hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 1962.
Menurutnya, secara literal, hubungan Malaysia-Austria dilihat menerusi pembinaan Tugu Negara di mana pereka arca terkenal dari Austria dibawa ke Malaysia untuk membina tugu peringatan sebagai tanda penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit yang gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara.
"Pengunjung dapat melihat dan mempelajari dengan lebih mendalam mengenai sejarah di sebalik pembinaan Tugu Negara di samping memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Jaafar Sidek menambah, idea pembinaan Tugu Negara dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman selepas tertarik melihat tugu peringatan yang dihasilkan Felix De Weldon yang terletak di Memorial Iwo Jima, Amerika Syarikat (AS) pada 25 Oktober 1960.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu adalah selaras dengan peranan Arkib Negara dalam usaha menyebarluaskan sejarah negara serta mendekatkan masyarakat dengan tokoh-tokoh negara.
Pameran itu dibuka 9 pagi hingga 5 petang setaip hari kecuali hari Isnin.