Pameran, bengkel Ilham Mataku sumbang RM15,000 kepada ibu tunggal

Aida Aziz
Februari 13, 2023 09:45 MYT
Tunku Soraya berkenan melihat lukisan yang dipamerkan. - Astro AWANI
KUALA KANGSAR: Pameran dan bengkel Ilham Mataku 'Expression from the Heart' yang julung-julung kali diadakan telah menyumbang dana sebanyak RM15,000 kepada 30 ibu tunggal yang menyertai program tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, program itu dianjurkan bagi memberi peluang golongan ibu tunggal mempamerkan bakat seni sekali gus berpeluang menjana pendapatan.
Program hasil cetusan idea Raja Putra Shah itu dijayakan bersama karyawan seni tempatan yang disokong oleh barisan panel penasihat dan Pertubuhan Wanita Prihatin Perak.
Selain mendapat kerjasama strategik bersama syarikat Art Case Gallery, Al-Najwa Productions, ICOMM Creative dan Nerv Global.
Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat bagi merasmikan program berkenaan yang diadakan di Hotel Casuarina Kuala Kangsar di sini, kelmarin.
Hadir sama mengiringi, Pengerusi HeArt & Craft, Raja Putra Shah; Ketua Mentor, Kurator dan Artis Antarabangsa Art Case Gallery, Raja Azhar Idris; Pengasas Al Najwa Production Sdn Bhd, Datuk Zunaidah Idris dan Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Noorzita Rabaai.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, keseluruhan dana oleh MB Inc, Lembaga Air Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak) dan kerajaan negeri itu diagihkan kepada kesemua ibu tunggal yang turut sama menghasilkan karya lukisan untuk dipamerkan sempena program itu.
"Program ini dijalankan sebagai usaha mewujudkan satu platform dalam dan luar talian bagi golongan ibu tunggal mengeksplorasi.
"Selain mencari, membangun dan mempamerkan bakat seni sambil berpeluang menjana pendapatan menerusi kemahiran seni melukis dan kraftangan yang dipelajari atas tajaan strategik.
"Belanjawan Negeri Perak 2023 bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera' diluluskan di Dewan Negeri Perak dan menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama.
"Inilah gambaran dan cerminan yang jelas, bahawa kerajaan hari ini akan meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat terbanyak termasuk kumpulan ibu tunggal untuk terus diupaya dan dibela," katanya ketika berucap pada program tersebut.
Katanya lagi, menjadi iltizam kerajaan negeri untuk terus berusaha membantu golongan sasar ibu tunggal supaya tidak terpinggir dan sentiasa diupayakan.
"Ia agar para wanita hebat dan cekal ini terus berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi, namun usaha kerajaan tidak boleh hanya bersifat sendirian tanpa sokongan pihak persendirian, syarikat korporat mahupun industri.
"Majlis hari ini sebagai bukti dan satu contoh yang amat baik untuk digambarkan pada semua pihak bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan yang sangat signifikan untuk membantu golongan ini untuk terus maju dan berjaya," katanya.
#pameran Ilham Mataku #ibu tunggal
;