Pameran Affordable Art di WTCKL, pamer lebih 300 karya pelukis tempatan

Astro Awani
Oktober 5, 2022 19:18 MYT
Irmohizam Ibrahim berkata, pameran yang bermula dari 30 September lalu hingga 13 Oktober depan itu mempamerkan lebih 300 koleksi eksklusif. - Foto WTCKL
KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput memeriahkan pameran Affordable Art Exhibition yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pameran yang bermula dari 30 September lalu hingga 13 Oktober depan itu mempamerkan lebih 300 koleksi eksklusif.
Beliau memberitahu, dengan harga lukisan yang bermula serendah RM300, pameran itu diharap dapat meningkatkan keupayaan rakyat tempatan untuk mendapatkan karya kreatif itu.
"Ini bermakna lukisan itu boleh dibeli dengan harga mampu milik dan ia kali pertama pameran seumpama itu diadakan di Malaysia.
"Saya berharap orang ramai akan datang beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada pelukis-pelukis tanah air di kala mereka mempamerkan lukisan-lukisan mereka," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Irmohizam memberitahu, pameran anjuran bersama Creative Space @WTCKL itu antara lain menyaksikan WTC dapat mewujudkan satu bentuk kaedah baharu dalam memberi peluang perniagaan menerusi industri acara perniagaan.
"Acara perniagaan bukan sahaja tertumpu kepada konvensyen dan sebagainya, kita juga boleh berkolaborasi dengan pemain-pemain industri seni untuk bersama-sama membantu menjana ekonomi negara serta mengalakkan generasi muda terlibat dalam industri ini," tambahnya.
Pameran yang dibuka secara percuma bermula pukul 11 pagi hingga 8 malam itu melibatkan lebih 90 pelukis tempatan.
Antara barisan pelukis terkenal yang mengambil bahagian dalam pameran itu adalag Aris Aziz, Sabri Salleh, Mustafa Salleh dan Wong Kean Choon.
#pameran lukisan #WTCKL #Affordable Art Exhibition #harga mampu beli #Irmohizam Ibrahim
;