PAMB, PruBSN siasat insiden kecurian data MOVEit
Sinar Harian
Jun 13, 2023 19:40 MYT
Jun 13, 2023 19:40 MYT
SHAH ALAM : Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) mengesahkan pihaknya antara syarikat yang terkesan secara global melalui serangan kecurian data dan penyalahgunaan ‘zero-day vulnerability’ pada perisian MOVEit.
Prudential dalam kenyataan berkata, pihaknya sentiasa mengemas kini dan menyemak sistem keselamatan serta bertindak pantas dalam mengawal serangan dalam perisian tersebut.
“Pelanggan dan ejen adalah keutamaan kami dan sebaik sahaja menyedari tentang insiden ini, kami mengambil tindakan segera untuk mengasingkan ‘server’ yang terjejas sementara pasukan tindak balas insiden kami meneruskan siasatan dan pemantauan ketat berkaitan perkara ini.
“Perkara ini kepada juga telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
“Terdapat kemungkinan besar antara data peribadi para ejen dan pelanggan terjejas adalah melibatkan nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan atau sebahagian maklumat kad kredit yang mengurangkan risiko transaksi tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, siasatan masih giat dijalankan dan pihaknya sedang berusaha untuk mengesahkan perkara tersebut secepat mungkin.
“Kami sedang mengambil langkah segera untuk memaklumkan perkara ini kepada para pelanggan yang terjejas serta pada masa sama memberikan sokongan sewajarnya.
“Kami juga menyediakan talian hotline khusus dengan masa operasi yang dilanjutkan supaya mudah dihubungi pelanggan.
“Perniagaan kami kekal beroperasi sepenuhnya dan tiada sebarang kesan ke atas operasi pelanggan,” ujarnya.
Tambah kenyataan tersebut lagi, pelanggan disarankan agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang komunikasi yang tidak dijangka.
“Elakkan daripada mengklik pada pautan atau memuat turun lampiran daripada emel yang mencurigakan.
“Semak akaun bank dan penyata kad kredit anda secara berterusan untuk mengesan aktiviti yang mencurigakan.
“Jika anda mengesyaki bahawa kad kredit anda terjejas dalam apa jua cara, kami mengesyorkan anda terus menghubungi pihak bank untuk melakukan tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan itu. - Sinar Harian