Pam tandas, bayar bil pantas; tiket ke London, IWK balas
Razak Chik
Disember 17, 2019 04:43 MYT
Disember 17, 2019 04:43 MYT
MENGEPAM tandas selepas digunakan dan membayar bil pembetungan – terutama yang tertunggak bukan sekadar tanggung jawab setiap pelanggan Indah Water Konsortium (IWK).
Jika segala hutang langsai sebelum akhir Januari tahun hadapan, anda berpeluang jejak kaki ke Kota London, percuma tiket terbang!
Sebelum ini, IWK sudah menghadiah pembayar bil pembetungan tiket penerbangan ke Paris dan Rome – kini London menanti bagi yang membayar sebelum akhir Januari.
Ganjaran terbang ini sudah berjalan sejak Januari sempena sambutan 25 tahun kewujudan IWK – syarikat milik Kementerian Kewangan diperbadankan – yang kini diletakkan dibawah Kementerian Air, Tenaga dan Sumber Asli (KATS).
Dari Januari hingga September, dua pusingan sudah berlangsung dengan pemenang di terbangkan ke Paris diikuti kota Rom. Untuk pusingan ketiga ini, London destinasi pilihan IWK.
Apa yang anda perlu lakukan jika ingin merebut peluang keemasan ini?
Mudah sahaja – lawat laman korporat IWK di www.iwk.com.my atau https://www.iwk.com.my/bayardanmenang/ untuk mendapatkan terma dan syarat.
Apa yang perlu dilakukan adalah mendaftar diri yang membolehkan anda membuat bayaran dalam talian (e-Bill) dan seterusnya mengisi borang yang terpampang.
Begitulah usaha IWK – syarikat utiliti dan pengendali system pembetungan negara – mengambil inisiatif galakkan pelanggan agar membayar kos perkhidmatan yang sering kali diambil mudah dan dianggap remeh oleh pemilik rumah, harta mahupun bangunan.
Ini menyebabkan ramai kalangan pemilik rumah mahupun bangunan culas menjelas bil hingga IWK menghadapi masalah timbunan bayaran tertunggak.
Awal tahun ini juga, IWK turut memberi insentif melalui pertandingan `Sedut dan Menang’ bertujuan menggalakkan pemilik rumah di kalangan pelanggan untuk mengosongkan tangki septik.
Menurut IWK, sistem pembetungan yang ada sekarang sudah mencapai satu tahap pemodenan yang jauh lebih efisien, bersih, mesra alam dan mampan.
Teknologi terkini diguna dalam merawat air mahupun bahan kumbahan sejajar dengan ciri ciri ekonomi kitaran (circular economy).
Ini membolehkan bahan buangan dikitar dan diguna semula – sekali gus mengurangkan penggunaan dan menjimat perbelanjaan.
Antara produk ekonomi kitaran yang sudah dituai IWK adalah air guna-semula dan baja menyuburkan tumbuhan dan bungaan.
Bagi rumah yang tidak disambung ke paip utama, sudah tentu terdapat tangki septik (septic tank) yang perlu dikosong dan dibersihkan setiap dua tahun. Bagi perkhidmatan ini, IWK akan melakukannya pada kadar RM144-RM180.
Mengapa tangki belakang rumah itu perlu dikosongkan secara berkala? Bayangkan jika tangka sudah penuh – tidakkah air dan bendalir akan meleleh ke dalam longkang yang akan menyebabkan pencemaran sungai dan Kawasan takungan air?
Sempena sambutan ulang tahun ke 25 IWK, sebuah buku – Indah Water – Memacu Negara diterbit khas dan dilancarkan pada satu majlis di Kuala Lumpur pada Selasa.
Buku berkulit keras berbentuk `coffee table book’ ini memaparkan sejarah sektor pembetungan negara dari zaman lepas merdeka hingga ke era pemodenan sekarang.