Palsu kad UNHCR: Lelaki warga Myanmar dipenjara lima tahun, denda RM30,000

Bernama
November 18, 2024 21:30 MYT
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu selepas Rezouddin Shamshuddin, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, dan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memalsukan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) September lepas.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu selepas Rezouddin Shamshuddin, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, dan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, penganggur itu telah memalsukan sekeping kad UNHCR atas nama Humairah Nobi Husseim dengan tujuan untuk menipu di sebuah pangsapuri di Sentul di sini antara 18 hingga 26 Sept.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, pada 25 Sept pukul 12.40 tengah hari, pengadu iaitu pegawai kanan polis yang bertugas di Bahagian E3 Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama pegawai dan anggota telah membuat tangkapan bersama bungkusan yang mengandungi kad UNHCR palsu.
Polis menahan lelaki itu di rumah sewanya, dan hasil serbuan membawa kepada penemuan pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses kad UNHCR palsu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran atas alasan kes berkenaan adalah serius kerana melibatkan isu keselamatan negara.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah atas alasan menanggung keluarga iaitu isteri dan bayi berusia 11 bulan yang berada di Myanmar.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #UNHCR #pelarian #Bukit Aman
;