Palsu dokumen UMS: Rayuan akhir Peter Anthony ditangguh ke 9 Jan
Bernama
November 26, 2024 16:55 MYT
November 26, 2024 16:55 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditangguhkan ke 9 Jan tahun depan.
Penangguhan keputusan itu yang pada awalnya dijadualkan esok dimaklumkan unit media Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Putrajaya menerusi mesej WhatsApp kepada pihak media.
Ia turut disahkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 26 Ogos lepas, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan 27 Nov ini untuk keputusan rayuan akhir Peter, selepas pihak-pihak selesai berhujah pada 1 Ogos lepas.
Pada 19 April 2023, Peter, 53, memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu telah membayar denda.
Sebelum ini, Peter gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas dan ini merupakan rayuan terakhir Peter di Mahkamah Rayuan.
Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, dituduh memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
-- BERNAMA
#palsu dokumen UMS
#Peter Anthony
#keputusan rayuan ditangguh
#bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah