Palsu dokumen: Anak menteri besar, pegawai pejabat MB antara enam direman SPRM
Adie Sufian Zulkefli
April 24, 2024 13:55 MYT
April 24, 2024 13:55 MYT
KANGAR: Anak seorang menteri besar (MB) dan pegawai kanan Pejabat MB antara enam yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan dokumen berjumlah RM600,000.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas tertuduh dibawa ke mahkamah jam 8.45 pagi tadi.
Sumber berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 37 tahun dan dikehendaki membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan sejak 2022.
Siasatan dipercayai juga menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.
Suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar.
Sumber berkata, suspek ditahan antara jam 7 hingga 8 pagi semalam dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.