"Paling diperlukan ialah bantuan makanan," rintih mangsa banjir
Azyyati Ahmad
Disember 5, 2013 15:00 MYT
Disember 5, 2013 15:00 MYT
Beberapa mangsa banjir yang dihubungi menyeru agar bantuan seperti makanan, tempat tidur, dan keperluan disalurkan segera kepada mangsa-mangsa banjir.
Menurut salah seorang mangsa, Mohd Faizal Hassan, 32 setakat ini sumber makanan dan tempat tidur yang didapati adalah dari ehsan penduduk tempatan dan milik sendiri.
“Sepanjang kami di pusat ini, kami berkerjasama memberi bantuan sesama sendiri seperti bot dan makanan.
"Kami masih lagi menunggu bantuan luar yang tak kunjung-kunjung tiba” katanya ketika dihubungi Astro AWANI mewakili 500 orang mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tanah Putih, Kuantan.
Faizal turut memaklumkan air mula naik seawal tiga pagi dua hari yang lepas di kawasan Tanah Putih Baru dan kesemua barang rumahnya tidak dapat diselamatkan.
“Ini kejadian banjir yang paling teruk melanda Kuantan sejak 30 tahun saya menetap di sini. Kesemua penduduk terpaksa berpindah ke pusat bantuan dan harta benda tidak sempat diselamatkan” ujarnya lagi.
Ikuti video temubual Astro AWANI bersama Faizal.
Manakala, seorang suri rumah Nordiana Mohamed Noruldin, 32, ketika dihubungi memberitahu air mula naik ke rumahnya sejak Isnin menyebabkan dia sekeluarga terus berpindah ke hotel berdekatan.
“Bila air mula naik paras lutut, saya sekeluarga berkemas dan terus berpindah ke Hotel Shazan. Sekarang air sudah pun naik ke paras dada.
“Kalau tunggu bantuan tentu lambat, saya ambil keputusan untuk pindah ke hotel kerana sekolah berdekatan pun dilihat telah dinaiki air” katanya.
Kesal dengan amaran yang tidak diberikan awal oleh pihak berkuasa, Nordiana turut memaklumkan ada keluarga yang terpaksa menumpang di rumah saudara mara serta tidur di kaki lima kedai.
“Paling diperlukan adalah bantuan makanan ketika ini, diharapkan pihak yang bertanggungjawab dapat memberi bantuan secukupnya dengan secepat mungkin kepada kami di sini” katanya lagi.
Sebelum itu, mangsa banjir di Pahang setakat jam 8 pagi tadi mencatatkan jumlah keseluruhan seramai 30,307 orang.
Daerah Kuantan masih mencatatkan jumlah pemindahan mangsa banjir tertinggi iaitu 22, 291 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai turut berkongsi gambar- gambar mengenai keadaan yang melanda di media sosial.
Gambar selanjutnya boleh dilihat di galeri gambar Astro AWANI.