Palestin zahir penghargaan kepada PM Anwar dan rakyat Malaysia
Astro Awani
Januari 25, 2024 16:53 MYT
Januari 25, 2024 16:53 MYT
KUALA LUMPUR: Palestin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia di atas kesungguhan, keprihatinan serta bantuan yang dihulurkan buat rakyat Palestin di Gaza.
Penghargaan itu dinyatakan Menteri Luar Palestin Riad Al Maliki kepada Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin pada Third South Summit of the Group of 77 and China (G77+China).
Beliau turut menghargai pernyataan Malaysia di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara Negara Berkecuali dan di Sidang G77+China.
Dalam pertemuan itu, Mohamad juga telah menyampaikan pendirian serta iltizam Malaysia untuk memainkan peranannya di semua platform antarabangsa dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
“Saya turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan di Palestin dan akan terus berusaha memberikan bantuan bagi meringankan penderitaan yang ditanggung mereka,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Selain itu, pada pertemuan singkat berkenaan, kedua-dua pemimpin berharap persidangan yang dianjurkan dapat meyakinkan masyarakat dunia dan pemimpin-pemimpin negara lain tentang keperluan memberikan tekanan kepada Israel agar menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan mereka.
Malah, pertemuan tersebut telah memberi peluang kepada kedua-dua mereka mengenali antara satu sama lain dan merapatkan hubungan baik Malaysia-Palestin yang terjalin sejak sekian lama.
Mohamad turut melahirkan harapan agar konflik yang telah mengorbankan lebih 25,000 nyawa terutamanya wanita dan kanak-kanak tersebut selain kerosakan harta benda dan infrastruktur awam itu dapat dihentikan segera.